Anda di sini

Ingat tarikh keramat

Advertisement

 

 Taib melakukan simbolik perasmian sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri yang berlangsung di Dataran Sibu, malam tadi. Sementara, Abang Johari, Awang Tengah Wong dan Morshidi melihat sama.
SIMBOLIK: Taib melakukan simbolik perasmian sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri yang berlangsung di Dataran Sibu, malam tadi. Sementara, Abang Johari, Awang Tengah Wong dan Morshidi melihat sama.
 Tun Taib serta isteri Ragad bersama Abang Johari dan isteri Juma’ani memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri yang berlangsung di Dataran Sibu, malam tadi.
HARI MALAYSIA: Tun Taib serta isteri Ragad bersama Abang Johari dan isteri Juma’ani memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri yang berlangsung di Dataran Sibu, malam tadi.

16 September amat penting bagi rakyat Sarawak dan Sabah, jadikan pedoman untuk capai kemajuan: KM

SIBU: Penduduk Sarawak dan Sabah sangat mementingkan Hari Malaysia pada tanggal 16 September iaitu hari yang cukup signifikan dalam sejarah Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, namun demikian Sarawak dan Sabah turut tidak melupakan 31 Ogos.

Ini kerana pada 31 Ogos, pembentukan Malaysia belum wujud lagi dan ia hanya wujud enam tahun kemudian.

Ia tidak bererti kita tidak mengiktiraf 31 Ogos sebagai hari penting yang kini dinamakan sebagai Hari Kebangsaan dan bukan Hari Kemerdekaan.

Kita menghormati 31 Ogos 1957 sebagai tarikh Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada kerajaan British yang diikuti oleh penubuhan Malaysia enam tahun kemudian,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2017 di Dataran Bandar Sibu, malam tadi.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, isteri Abang Johari Datin Patinggi Dato Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh serta isteri Datin Sri Pauline Leong dan dif-dif kenamaan lain.

Seramai 5,000 hadirin termasuk para tetamu jemputan hadir pada majlis tersebut yang diadakan dengan penuh gilang-gemilang meskipun dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Abang Johari berkata, justeru rakyat di negeri ini harus menjunjung tanggal 16 September ini untuk maju ke depan.

Saya mahu rakyat ingat tarikh ini (16 September) sampai bila-bila sebagai pedoman dan pegangan kita tentang kepayahan pemimpin terdahulu membentuk negeri kita sebahagian dari Malaysia,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah mengiktiraf 16 September sebagai cuti umum di seluruh negara sejak 2009.

Sementara itu, beliau memuji usaha kerajaan persekutuan yang turut membantu negeri ini maju sejajar dengan kemudahan infrastruktur di Semenanjung Malaysia seperti memberi peruntukan untuk pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo dan menaik taraf sekolah-sekolah daif di negeri ini.

Kerajaan persekutuan begitu komited untuk membantu kita (Sarawak) maju sejajar dengan apa yang mereka ada di sana,” tambahnya.

Beliau memberitahu rakyat Sarawak juga menginginkan kemajuan yang sama seperti Semenanjung Malaysia dalam konteks pembangunan ekonomi dan sebagainya.

Menurutnya, ini kerana ia adalah menjadi harapan dan aspirasi pemimpin terdahulu yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963.

Tidak dinafikan kita banyak ketinggalan pembangunan infrastruktur berbanding Semenanjung Malaysia,” katanya lagi.

  • oleh
  • Advertisement