Anda di sini

Mengapa perlu bangga jadi anak Malaysia?

Advertisement
 Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima tabik hormat semasa perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 Peringkat Negeri Sarawak di Bintulu pada 31 Ogos lalu. Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg serta timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
TONGGAK NEGERI: Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima tabik hormat semasa perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 Peringkat Negeri Sarawak di Bintulu pada 31 Ogos lalu. Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg serta timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

PERSOALAN itu wajar ada dalam diri setiap warganegara Malaysia - sebuah negara berdaulat yang dibentuk hasil gabungan beberapa wilayah merangkumi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

 Persoalan itu bukan sahaja wajar dipersoalkan ketika Malaysia kini berusia 54 tahun - malah setiap hari - agar semangat cintakan negara sentiasa tersemat di sanubari setiap warga.

 Malaysia negara kita, Malaysia tempat kita dilahirkan, dan Malaysia juga tempat kita membesar dan pendek kata segalanya berlaku di bumi bertuah ini.

 Pada 16 September setiap tahun, kita meraikan sambutan Hari Malaysia, sambil kita menghayati apa itu erti sebuah negara berdaulat.

 Kenikmatan yang kita kecapi apabila bernaung di sebuah negara yang tidak lagi ditadbir oleh kuasa kolonial.

 Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan persoalan di atas.

 Jelasnya, beliau amat berbangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia dan hidup di Bumi Kenyalang.

 “Apa yang penting, sekarang menerusi pembentukan Malaysia, warganegara ini dapat hidup dalam keadaan aman dan damai walaupun terdiri daripada berbagai kaum dan agama.

 “Bersyukur dan berbangga sebab terdapat kepelbagaian.

 “Di sini keunikan kita ialah kepelbagaian yang seterusnya menjadi kekuatan dan bukan halangan untuk maju ke hadapan,” ujarnya.

 Perasaan bangga itu turut dikongsikan oleh pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Malia Taibi yang amat bersyukur kerana hidup dalam negara yang aman dan tenteram.

 Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kita masih dapat meneruskan kehidupan, jelasnya.

 “Kita bebas untuk ke mana-mana, kemudahan asas cukup, rakyat tidak kebuluran seperti di negara-negara dunia ketiga yang lain,” tambahnya.

 Malah dari aspek pendidikan, semua mendapat peluang untuk belajar.

 “Dari segi kesihatan, kerajaan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang cekap tetapi murah jika dibandingkan dengan negara lain.

 “Tiada apa yang perlu dipersoalkan,” ujarnya.

 Pada tahun ini, genap enam dekad kita hidup berdikari, berdiri di atas kaki sendiri dan sehingga sekarang sudah mampu berlari menuju kejayaan demi kejayaan yang kini sedang terbang menuju dan mencapai puncak kemajuan.

 Secara definisinya, kemerdekaan jelas bermaksud bebas daripada sebarang bentuk penjajahan ertinya kita tidak lagi dikongkong oleh pemikiran luar tetapi kitalah yang berfikir serta membina dan membangunkan negara ini.

 Bagi pesara polis, Azahari Hamdan, 60, bangga menjadi anak Malaysia, seusia dengan kemerdekaan negara.

 “Saya lahir pada 1957, tahun kemerdekaan negara, saya amat bangga bergelar anak Malaysia walaupun tidak menyaksikan peristiwa penting bagi negara pada ketika itu,” katanya.

 Apa yang penting sekarang, dia hanya mahu menyemarakkan suasana sambutan hari kemerdekaan setiap kali 31 Ogos tanpa mengira ia merupakan tarikh bersejarah bagi Persekutuan Tanah Melayu sahaja.

 Baginya, tidak ada isu perbezaan antara sambutan kemerdekaan Malaysia dan Sarawak, kerana dia tetap meraikan kedua-duanya.

 Ini kerana Sarawak dan Sabah telah bersamasama Persekutuan Tanah Melayu dalam membentuk Malaysia pada 1963, dan ia bermakna kita adalah ‘satu’.

 “Adalah menjadi kemestian kepada kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka meraikan detik bersejarah itu bukan sahaja melibatkan Semenanjung Malaysia tetapi penduduk di Sarawak dan Sabah.

 “Janganlah kita meletakkan perbezaan itu sebagai jurang pemisah perpaduan antara masyarakat di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, kerana bukan itu yang dituntut dalam dasar 1Malaysia,” ujarnya.

 Namun apa yang penting jelasnya, kemerdekaan negara masih bertahan sehingga ke hari ini dan ia jelas membuktikan Malaysia masih aman.

 Tambah Azahari, masyarakat harus bersyukur kerana negara terutamanya Sarawak, terus aman dan rakyat dapat hidup dalam semangat perpaduan dan sikap toleransi yang tinggi.

 Dia berharap generasi baharu dapat menerapkan nilai yang baik serta semangat patriotik yang tinggi bermula dari peringkat awal termasuk di rumah dan sekolah agar tidak mudah terjebak dengan unsur negatif yang akhirnya memudaratkan diri sendiri.

 Pada usia 60 tahun kemerdekaan negara, dia menyifatkan semangat rakyat Malaysia sepatutnya semakin patriotik, dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan, di rumah kediaman mahupun di bangunan pejabat sebagai tanda menyemarakkan semangat cintakan negara.

 Namun, masih ada kekurangan dalam menyambut kehadiran hari bersejarah itu setiap kali menjelang Bulan Kemerdekaan dari Julai sehingga September di mana tarikh 22 Julai (Hari Sarawak), 31 Ogos (Hari Kemerdekaan) dan 16 September (Hari Malaysia).

 Sementara itu, Ketua Kaum, Kassim Daud, 76, membangkitkan persoalan, apa salahnya hari kemerdekaan disambut bersama.

 “Tiada ada isu di sini sebenarnya, kita tidak harus terpengaruh dengan hasutan dan mentaliti negatif oleh anasir luar yang cuba meracuni tahap pemikiran kita.

 “Saya berbangga menjadi anak Malaysia, malah saya melihat perkembangan negeri Sarawak bermula dari Ketua Menteri pertama, Stephen Kalong Ningkan sehinggalah sekarang yang diterajui Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya.

 Meskipun Sarawak mempunyai hari kemerdekaannya sendiri iaitu 22 Julai, tetapi rakyat juga perlu mengikis persepsi negatif terhadap sambutan kemerdekaan Semenanjung Malaysia.

 “Walaupun bukan hari merdeka kita (Sarawak), kita harus berbangga menjadi rakyat Malaysia, kerana Sarawak juga bersama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia.

 “Jadi apa salahnya kita sambut bersama Hari Malaysia, Hari Kemerdekaan, orang dahulu telah berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan bersama,” tegasnya.

 PERSEPSI GENERASI MUDA Laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos oleh Bapa Kemerdekaan iaitu Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

 Ia cukup bermakna serta memberi erti besar kepada negara yang berjaya mencapai kemerdekaan dan kebebasan daripada cengkaman tangan penjajah.

 Selepas lebih setengah abad menikmati kebebasan, ia telah memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di negara ini bukan sahaja melibatkan generasi terdahulu, tetapi golongan muda.

 Peniaga, Mohd Nizar Azahari, 24, bersyukur Malaysia masih aman terutama di Sarawak yang memiliki latar belakang penduduk yang pelbagai kaum menjadi tunjang utama keutuhan perpaduan masyarakat.

 Mengakui generasi muda sebagai pelapis dan cermin masa depan negara, ia perlu terus diterapkan dalam pemikiran anak muda agar tidak terpesong dalam ‘perjalanan’.

 “Merdeka Malaysia, maka merdeka jugalah kita di Sabah dan Sarawak, kerana kita adalah sama, tidak ada bezanya.

 “Usah bangkit isu perbezaan yang mampu mengundang konflik yang berupaya menggugat perpaduan,” katanya.

 Apa yang penting, hidup bersama, mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama ini demi kepentingan generasi akan datang.

 Nizar berkata, rakyat seharusnya bersyukur dengan kemerdekaan yang telah sekian lama bertahan, dan terus berharap agar ia dikekalkan.

 “Teruskanlah perpaduan ini, elak isu perkauman, dan jangan bergaduh sesama sendiri, kita harus bangkit dan pertahankan kemerdekaan negara tercinta,” ujarnya.

 Pokok pangkalnya, ia sejajar dengan inisiatif kerajaan menerusi tema ‘Negaraku’ sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam diri rakyat sekali gus mengetepikan perbezaan serta bersatu hati dalam membentuk Malaysia yang lebih berjaya dan makmur.

  • oleh
  • Advertisement