Anda di sini

Amir Jahari bukan kejar populariti

Advertisement
__alt__

Peserta AF Megastar itu mahu peminat menghayati karya dan lagunya

BUSKING adalah universiti jalanan saya, di sini saya timba ilmu muzik, rasa cinta terhadap karya seni dan mendewasakan dunia nyanyian saya,” kata pelantun dan pemilik lagu ‘Aku Manusia Biasa’, Amir Jahari.

 Nama sebenar Mohamad Amirullah Jahari adalah anak jati Bumi Kenyalang berusia 25 tahun mula disebut namanya selepas kemunculan dalam program AF Megastar yang menghimpun beberapa bakat besar kelahiran program realiti terbitan Astro, Akademi Fantasia seperti Marsha Milan, Syamel, Bob Yusof, Shahir, Idayu dan beberapa nama yang sudah terkenal dalam industri negara.

 Amir adalah pelajar AF musim kesembilan yang digugur namanya pada 2011 dan kegagalan itu tidak pernah sekalipun mematah semangatnya untuk terus berkarya walau pada ketika itu usianya terlalu muda.

 “Ketika digugur dalam AF9 dulu, saya tidak menganggap saya kalah dengan peserta lain sebaliknya kalah dengan diri sendiri.

 Apa lagi ketika itu, saya tidak bersedia untuk sebarang rancangan televisyen.

 “Dan, saya bukan jenis hipokrit yang tidak mahu dikawal apabila lagu, pemilihan lagu dan penggunaan gitar dikawal pihak produksi akademi.

 Saya enggan dikongkong menyebabkan saya gagal melunas gaya serta bakat dalam AF9,” katanya dihubungi Utusan Borneo sebaik selesai Konsert Homecoming AF Megastar di Kuala Lumpur.

 Memahami perjalanan seni Amir mungkin membuka mata pendukung seni masa kini kerana bukan mudah untuk anak muda ini memperjuang karya seni di tengah kota besar Kuala Lumpur.

 “Saya mula mempelajari ilmu seni hampir keseluruhannya di jalanan ketika busking di Tebingan Kuching pada usia 16 tahun sebelum meneruskan pelajaran di Kuala Lumpur,” katanya sambil menambah, di sinilah keperitan mula dirasainya apatah lagi tidak memberitahu keadaan sebenar yang dilaluinya di sana kepada keluarganya di Kuching.

 Di Kuala Lumpur, Amir menuntut muzik di salah satu institusi seni dan kerana enggan menyusahkan ibu bapanya di Kuching, dia berusaha mencari duit sendiri dengan menghamba diri sebagai seniman jalanan kota metropolitan itu.

 Sebaik tamat kelas jam 5 petang, dia akan menggali ilmu seni dengan mengadakan busking di Pasar Seni kemudiannya di Petaling Street sebelum berehat dari jam 7 sampai 8 malam.

 “Kemudian saya akan meneruskan busking di hadapan Maybank Bukit Bintang yang dahulu dari jam 8 sampai 11 malam.

 Dan lokasi terakhir mencari ilmu di universiti jalanan ialah Jalan Alor Bukit Bintang dari jam 1 sampai 4 pagi.

 “Selepas jam 4 pagi saya kembali ke kolej untuk tidur selama tiga jam sebelum masuk kelas jam 10 pagi.

 Ketika itu usia saya 18 tahun dan ia menjadi rutin harian hampir setiap hari,” katanya.

 Menyentuh mengenai harapannya selepas terpilih antara 12 yang layak ke pentas AF Megastar, Amir mengakui tidak menaruh sebarang harapan dan menganggap sebagai rezeki jika berjaya ke fi nal.

 Katanya, dia akan menganggap setiap konsert AF Megastar konsert terakhir dan menjanjikan komitmen 100 peratus.

 “Bukan mengejar populariti, tapi saya berharap dapat manfaat untuk pendengar yang baharu kenal nama Amir Jahari dan menghayati karya dan lagu saya.

 Andai kata saya tersingkir awal, tiada kerisauan kerana kini dalam pembikinan album kedua.

 “Sebagai artis bebas saya berusaha sendiri membuat album ini dan bakal dikeluar oleh Luncai Emas, syarikat label penyanyi terkenal Datuk M.

Nasir,” katanya yang pernah menjadi artis kontrak Kasi Gegar Entertaiment (KGE) milik bekas peserta AF5, Aizat Amdan dengan pelancaran album pertama ‘Penghibur Jalanan’ pada 2013.

 Penyanyi yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak yang bergiat aktif bersama kumpulan muziknya sendiri The Amir Jahari Project juga memasang impian memperjuang kesedaran pemahaman dan penghargaan seni di negara ini.

 Katanya, sekolah rendah sehingga sekolah menengah perlu diterapkan penghargaan seni dan jadikan mata pelajaran penghargaan seni sebagai subjek di sekolah.

 “Ini akan menjadikan seni Malaysia berkarya lebih aktif dan bersebab, bukan berkarya untuk siasia apatah lagi menjadikan wajah antara pakej untuk berjaya.

 “Ia juga menjadikan kita tidak cetek dalam menilai akar seni kerana walau 10 tahun tanpa album, kita mahu nyanyian kita tetap dicari bukan dianggap mati dalam industri,” katanya sambil berkongsi kisah zaman remajanya mula meminati lagu serta petikan gitar untuk mengorat anak gadis.

 Namun selepas enam tahun terlibat dalam industri Amir mengakui, jiwanya mula memahami keindahan dalam berkarya, keindahan seni dalam lagu dan lirik yang positif didengar peminat.

 Antara karya seni Amir ialah album pertamanya, ‘Penghibur Jalanan’ pada 29 April 2013 memuatkan sebanyak sembilan lagu, termasuk dua lagu akustik yang permainan teka silang kata sebagai kulit album.

 Single pertama dari album ini ialah ‘Tanpamu’, diikuti oleh single kedua, ‘Penghibur Jalanan’ dan single ketiga ‘Gelisah’.

 Amir pernah menyertai kumpulan Go Gerila sebagai vokalis utama bersama Aizat Amdan seterusnya menubuhkan kumpulan muziknya sendiri The Amir Jahari Project.

 Pada 2016, Amir pernah melancarkan single bertajuk ‘Ingga’ yang mengetengahkan bahasa Melayu Sarawak sepenuhnya.

 Lagu ini menampilkan bunyian sape, alat muzik tradisional Orang Ulu dengan alunan melodi Sarawak digabung bersama muzik Amir berentak folk rock kontemporari.

 Konsert AF Megastar ke udara setiap malam Ahad mengetengahkan 12 peserta terpilih mulai 17 September ini sehingga lima teratas untuk konsert akhir berdasarkan format undian peminat.

  • oleh
  • Advertisement