Anda di sini

Semakin ramai wanita Orang Ulu terlibat dengan perniagaan

Advertisement
 Sebahagian rantai manik yang dihasilkan peserta bengkel.
CANTIK: Sebahagian rantai manik yang dihasilkan peserta bengkel.
 Anyi memalu gong sempena perasmian Karnival Jualan Usahawan Industri Asas Tani Bahagian Miri anjuran Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Persatuan Wanita Kayan Telang Usan atau Doh Kayan Telang Usan (DKTU) di ruang legar Imperial Mall di Miri, baru-baru ini. Kelihatan sama Elizabeth Deng dan Magdalene (empat kiri).
SIMBOLIK: Anyi memalu gong sempena perasmian Karnival Jualan Usahawan Industri Asas Tani Bahagian Miri anjuran Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Persatuan Wanita Kayan Telang Usan atau Doh Kayan Telang Usan (DKTU) di ruang legar Imperial Mall di Miri, baru-baru ini. Kelihatan sama Elizabeth Deng dan Magdalene (empat kiri).

PENGANJURAN Karnival Jualan Usahawan Industri Asas Tani Bahagian Miri anjuran Persatuan Wanita Kayan Telang Usan atau Doh Kayan Telang Usan (DKTU) pada 1 hingga 3 September lalu berjaya menarik lebih ramai wanita Orang Ulu untuk melibatkan diri dalam perniagaan.

Program yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) dengan kerjasama di ruang legar Imperial Mall itu berjaya mengumpulkan 20 peniaga asas tani dan kraf tangan dari kawasan Telang Usan bersama 20 lagi peniaga mewakili JPS.

Karnival berkenaan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau.

Sepanjang program itu, pelbagai kraf tangan seperti bakul, perhiasan manik, tumbuh-tumbuhan, produk hutan dan makanan kering dijual kepada orang awam.

Turut diadakan ialah demonstrasi memasak, pemeriksaan kesihatan dan Kursus Pembangunan Ekonomi Keluarga untuk wanita Telang Usan dan ceramah Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan etika sosial oleh Pengarah ROS Sarawak, Georgina Apphia Ngau.

Peserta kursus adalah dari Long Lama, Long Laput, Sungai Dua, Uma Bawang, Long Bedian, Uma Bakah Sungai Asap, Long Wat, Long Atip, Long Bemang, Long Maro, Long Sepiling, Long Senyai, Long Tap, Long Anyat, Long Panai Uma Beluvuh, Daleh Long Pelutan/Long Miri, Long Pilah, Long Teran dan Long Na’ah.

Selain memfokus kepada wanita Kayan, kursus ini turut disertai wanita dari etnik Kelabit, Kenyah, Berawan dan Lakiput.

Pengerusi DKTU, Temenggung Elizabeth Deng berkata, beliau berharap karnival tersebut dapat menarik minat lebih ramai wanita Orang Ulu khususnya wanita Kayan untuk melibatkan diri dengan perniagaan sama ada sepenuh masa ataupun sambilan.

Katanya, program seumpama ini juga dapat memperkasa para peserta mengenai persiapan untuk menjadi usahawan selain bimbingan agar mereka menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Usaha DKTU untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita tidak terhenti setakat karnival ini, malah kita sudah menyusun beberapa program jangka pendek dan jangka panjang untuk peserta,” katanya kepada Utusan Borneo.

Katanya, jualan karnival selama tiga hari yang mencecah RM50,000 membuktikan para peserta mampu meraih pendapatan tinggi sekiranya diberi peluang atau platform untuk memasarkan produk mereka.

Beliau berharap para peserta dapat menjadikan karnival itu sebagai titik permulaan untuk mengembangkan perniagaan selain menyuntik semangat mereka untuk menjadi usahawan berjaya.

Serentak dengan karnival, DKTU turut melancarkan buku masakan tradisional Kayan yang julung kali diterbitkan iaitu ‘Buhup Dapi Kayan’.

Buku setebal 70 muka surat dan mengandungi 34 resipi itu dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau pada majlis penutupan karnival itu.

Hadir sama pada majlis penutupan ialah Senator Datuk Lihan Jok, Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Magdalene Lungan Ajang, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Charles Balan Seling, bekas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Robert Laing dan ketua-ketua masyarakat dari Telang Usan.

 Bakul rotan yang dijual semasa karnival.
UNIK: Bakul rotan yang dijual semasa karnival.
  • oleh
  • Advertisement