Anda di sini

Ugut ibu kandung, lelaki didenda RM4,000 atau dua bulan penjara

MIRI: Mahkamah Majistret semalam mengenakan denda RM4,000 atau dua bulan penjara ke atas seorang lelaki kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah Chin Khein Chai mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasar pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya, Andon Naning, 71, dengan niat hendak menakutkan mangsa.

Chin, 44, dari Taman Ceria, Jalan Permyjaya Utama, Permyjaya di sini didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 petang, 31 Ogos lalu di sebuah lot di Jalan Riam di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.