Anda di sini

Suami mengaku salah cedera isteri, anak guna penyapu

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga minggu dan denda RM2,500 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah mencederakan isteri dan anak perempuannya menggunakan sebatang penyapu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

William Wong Pak Eing, 26, dari Taman Permai, Tudan di sini telah didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja telah mencederakan isterinya, Jati Uyong, dengan mencekik, menampar dan menumbuk serta memukul mangsa menggunakan sebatang kayu penyapu.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh juga dengan sengaja telah mencederakan anak perempuannya, Crystal Wong Chai Hsia,  dengan memukul mangsa di bahagian lengan dan badan menggunakan sebatang kayu penyapu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 3 pagi, 23 Julai lalu di sebuah rumah di Taman Permai, Tudan di sini.

Menurut keterangan kes, pada 23 Julai lalu, seorang wanita telah membuat laporan polis dengan mendakwa sekitar jam 3 pagi, 23 Julai lalu, semasa sedang tidur, tiba-tiba tertuduh yang juga suaminya telah menyerangnya dengan mencekik, menampar, menumbuk dan memukul badannya menggunakan sebatang kayu penyapu.

Tertuduh turut bertindak memukul anak perempuannya menggunakan kayu penyapu di bahagian badan selain menampar dan menumbuk kepala anaknya itu.

Bertindak atas maklumat diterima, pada jam 1.45 petang, 9 September lalu, polis telah menangkap tertuduh di rumahnya di Taman Permai, Tudan di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Hasil siasatan lanjut polis mendapati semasa kejadian, tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol. Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili.