Anda di sini

Singapura pilih presiden wanita Muslim

Advertisement

Pelantikan tanpa pengundian Halimah ternyata disambut kemarahan umum

 Halimah berucap di hadapan para penyokongnya sambil diperhatikan suaminya Mohammed Abdullah Alhabshee (tiga kiri) sebelum meninggalkan pusat penamaan calon di Singapura, semalam. — Gambar Reuters
MERCU TANDA: Halimah berucap di hadapan para penyokongnya sambil diperhatikan suaminya Mohammed Abdullah Alhabshee (tiga kiri) sebelum meninggalkan pusat penamaan calon di Singapura, semalam. — Gambar Reuters

SINGAPURA: Singapura memilih presiden wanita pertamanya semalam, tetapi mercu tanda membanggakan itu dibayangi kritikan bahawa pelantikannya tidak demokratik kerana dibuat tanpa pengundian.

Halimah Yacob, bekas speaker parlimen daripada kumpulan minoriti Melayu Muslim, tidak perlu berdepan pilihan raya untuk jawatan simbolik itu selepas pihak berkuasa membuat keputusan para pencabarnya tidak mematuhi kriteria kelayakan yang ketat.

Ini bukan kali pertama di negara mewah itu yang dikawal ketat dan diperintah parti yang sama sejak berdekad-dekad, di mana kerajaan membatalkan kelayakan calon untuk jawatan presiden, sekali gus menjadikan pilihan raya tidak perlu.

Tetapi sudah timbul rasa kurang senang mengenai proses itu memandangkan ini kali pertama jawatan presiden dikhaskan untuk kumpulan etnik tertentu, dan dalam kes ini, masyarakat Melayu dan keputusan untuk memberikan beliau jawatan tanpa pengundian menambah lagi kemarahan.

Media sosial sarat dengan kritikan tatkala Halimah, 63, yang bertudung dan berkaca mata, secara rasmi diumumkan sebagai presiden lantikan, dengan seorang pengguna laman sosial Facebook, Pat Eng, menulis: “Dilantik tanpa pilihan raya, memang satu gurauan.”

Saya memanggil beliau Presiden Dipilih mulai sekarang,” kata Joel Kong sementara beberapa komen disertakan dengan hashtag #BukanPresidenSaya, menyamai pesanan yang digunakan penduduk Amerika Syarikat (AS) yang kecewa selepas pemilihan Donald Trump sebagai presiden.

Halimah, Ahli Parlimen daripada parti memerintah, Parti Bertindak Rakyat selama hampir dua dekad, meletak jawatan untuk bertanding jawatan presiden.

Beliau menangani keraguan tentang proses pemilihannya dalam satu ucapan yang mendapat sorakan penonton sebaik sahaja dinamakan sebagai presiden.

Saya presiden untuk semua orang.

Walaupun tiada pilihan raya, komitmen saya untuk berkhidmat adalah sama,” kata beliau.

Pihak berkuasa membuat keputusan untuk membenarkan hanya calon daripada komuniti Melayu untuk jawatan presiden bagi membina perpaduan dalam negara dengan 5.5 juta penduduk yang majoritinya etnik Cina.

Halimah adalah presiden Melayu pertama Singapura dalam sejarah hampir 50 tahun.

Yang terakhir ialah Yusof Ishak yang menjadi presiden pada 1965 hingga 1970, lima tahun pertama selepas kemerdekaan.

Lima individu telah mengemukakan nama mereka untuk jawatan tersebut dan kerajaan telah menjadualkan pilihan raya pada 23 September.

Dua dibatalkan serta-merta kerana bukan Melayu manakala dua usahawan Melayu terbatal kelayakan pada Isnin lalu setelah didapati syarikat mereka lebih kecil daripada ketetapan dalam syarat kelayakan baharu yang ketat yang diperkenal tahun lepas.

Halimah serta-merta layak kerana pernah memegang jawatan awam dan akan dirasmikan pelantikannya hari ini.

Presiden Singapura mempunyai kuasa terhad, termasuk mempunyai kuasa veto untuk pelantikan pegawai kanan, tetapi orang ternama sentiasa memegang jawatan itu tanpa banyak bantahan sebelum ini. — AFP

Advertisement