Anda di sini

Seorang cedera, 36 rumah rosak, atap jeti awam ‘terbang’

Advertisement
 Rumah Jamal ranap di Kampung Seri Menanti akibat ribut.
BENCANA: Rumah Jamal ranap di Kampung Seri Menanti akibat ribut.

BELURAN: Sebanyak 36 rumah mengalami pelbagai kerosakan, termasuk sebuah yang ranap akibat kejadian angin ribut yang melanda dua perkampungan di kawasan Pekan Beluran, petang Isnin.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Labuk Abdul Rahman Kangkawang berkata dalam kejadian hujan lebat kira-kira jam 5.30 petang itu, dua perkampungan dilanda bencana angin ribut iaitu Kampung Air dan Kampung Seri Menanti, berhampiran Pekan Beluran.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan 28 rumah mengalami pelbagai kerosakan di Kampung Air dan lapan lagi rumah penduduk rosak, termasuk sebuah rumah ranap di Kampung Seri Menanti.

Rumah ranap yang didiami Jamal Kuli, 40-an, bersama keluarganya turut menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki (anak Jamal) cedera di kepala dan kaki akibat terkena serpihan kaca semasa kejadian itu dan telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Pekan Beluran.

Ini kejadian bencana alam (angin ribut) yang berlaku kali kedua dalam tempoh dua minggu ini di kawasan Pekan Beluran,” katanya selepas melawat rumah mangsa bencana di kedua-dua perkampungan itu yang terletak di tepi muara Sungai Labuk.

Beliau berkata, kejadian itu turut menyebabkan sebuah jeti awam di Kampung Seri Menanti rosak teruk apabila atapnya diterbangkan angin kencang.

Tindakan bersepadu akan dilakukan segera oleh pihak Pejabat Kebajikan, Pejabat Adun Labuk dan Parlimen Beluran untuk membantu mangsa terbabit,” katanya sambil meminta mangsa segera mengemukakan laporan terperinci melalui ketua kampung berhubung kerosakan rumah yang dialami termasuk membuat laporan polis.

Abd Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 6.05 petang 31 Ogos lalu, lebih 20 rumah di Kampung Air dan Kampung Keramat di sini rosak akibat bencana sama.

Turut bersama beliau melawat mangsa kejadian bencana terbaharu itu ialah wakil Pegawai Kebajikan Beluran Joslen Marusin, wakil Pejabat Parlimen Beluran James Langa, Ketua Kampung Air Datu Kumit Datu Damri dan Ketua Kampung Seri Menanti Haberin Hassan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran ketika dihubungi Utusan Borneo mengesahkan telah menerima laporan kejadian itu.

Advertisement