Anda di sini

Penganggur didenda atau penjara ugut emak saudara

MIRI: Gara-gara melakukan ugutan jenayah terhadap emak saudaranya, seorang penganggur didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam.

Zulhusni Shopieyan, 31, dari Kampung Haji Wahed di sini telah mengaku bersalah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap Melati Abdul Rahman, 41, dengan mengugut hendak memukul ibu mangsa sekiranya mangsa enggan memberikannya wang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 pagi, 26 Julai lalu di rumah keluarganya di Kampung Haji Wahed di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Mahkamah Majistret menetapkan 28 Ogos ini untuk perbicaraan lanjut kes seorang lelaki yang dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap emak saudaranya.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM2,800 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Terdahulu, kes ditetapkan untuk pengurusan kes semalam dan tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap tuduhan itu.