Anda di sini

Pegang erat mayat rakan elak dihanyut arus sungai

KUCHING: Seorang lelaki sanggup memegang erat mayat rakannya sambil berpaut pada sampan  sementara menunggu bantuan kerana khuatir mayat rakan dihanyutkan arus dalam satu insiden di Tebingan Kuching di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila mangsa Deraman Sapawi berusia 30-an bersama dua rakannya sedang memancing berdekatan tapak pembinaan Masjid Terapung sebelum dipercayai terjatuh sekitar jam 12 tengah malam.

Melihat kejadian tersebut, seorang daripada rakannya terus terjun ke dalam sungai dan berjaya menarik mangsa dari dasar sungai tersebut selepas menyelam beberapa minit.

Mangsa tidak sedarkan diri dan usaha dua rakannya itu menarik mangsa ke atas sampan tidak berjaya menyebabkan rakannya terpaksa memegang erat mangsa kerana khuatir dihanyutkan arus deras.

Seorang lagi rakan mangsa menjerit meminta pertolongan daripada pengawal keselamatan yang bertugas di jeti berdekatan tempat kejadian yang kemudian terus menghubungi pihak polis serta bomba,” kata sumber.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.35 pagi.

Setiba di tempat kejadian, mangsa telah berjaya ditemui oleh rakannya di tepi tebingan berdekatan Masjid Terapung yang dalam proses pembinaan.

Bomba kemudian bertindak mengangkat mangsa ke atas dengan menggunakan ‘bucket strecther’,” menurut satu kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang hadir di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai turut memberitahu mayat mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Bedil itu telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Siasatan awal mendapati mangsa terjatuh ke dalam sungai semasa memancing ikan dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” kata Abang Ahmad.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.