Anda di sini

Pan Borneo, bukan sekadar jalan raya

 Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing menunjukkan pada peta kemajuan projek jalan raya Kanowit-Kapit semasa melawat Jambatan Katibas di Song, baru-baru ini. Turut kelihatan ADUN Katibas Datuk Ambrose Blikau (kiri), Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga kiri), Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang (empat kiri) dan ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit (kanan). — Gambar Bernama
PEMBANGUNAN PESAT: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing menunjukkan pada peta kemajuan projek jalan raya Kanowit-Kapit semasa melawat Jambatan Katibas di Song, baru-baru ini. Turut kelihatan ADUN Katibas Datuk Ambrose Blikau (kiri), Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga kiri), Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang (empat kiri) dan ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit (kanan). — Gambar Bernama

DI atas kertas, laluan lebih 2,000 kilometer (km) dari Teluk Melano di penghujung barat daya Sarawak sehingga ke Serudong nun jauh di penghujung negeri Sabah sana hanyalah laluan jalan darat yang panjang menghubungkan dua negeri Malaysia di pulau Borneo, merentasi negara Brunei Darussalam.

Namun hakikatnya sama seperti Lebuhraya Utara Selatan yang menawarkan perjalanan darat selesa antara Bukit Kayu Hitam di utara dan Johor Bahru di selatan negara, ia bakal menjadi pemangkin utama yang akan memacu pertumbuhan ekonomi kawasan-kawasan yang direntasinya.

Beza perbandingannya cukup mudah — Lebuhraya Plus membabitkan laluan sejauh 772km, manakala laluan Pan Borneo menjangkau lebih dua kali ganda jauhnya; dan semasa tol dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru mencecah sehingga lebih RM100 untuk perjalanan sehala, Lebuhraya Pan Borneo — tanpa tol, pandulah sepuas hati.

Agenda transformasi nasional (TN50) yang menekankan soal ‘inklusif’, ingin melihat seluruh rakyat melangkah seiring untuk maju bersama ke hadapan tanpa meminggirkan mana-mana kelompok di belakang dalam membentuk satu keluarga besar yang progresif di bawah satu bendera.

Asalnya, kira-kira 300 penduduk di Telok Melano, kira-kira 100km dari bandar raya Kuching sama sekali tidak menjangka manifesto Barisan Nasional (BN) mengenai tekad lebuh raya yang dianggar bernilai lebih RM29 bilion itu (RM16.49 bilion buat laluan di Sarawak dan RM12.86 bilion di Sabah) yang dijangka siap sekitar tahun 2023, akan turut membawa rahmat kepada mereka.

Telok Melano, perkampungan nelayan yang kecil bersempadan dengan Indonesia, tidak mempunyai jalan yang sempurna untuk berhubung dengan dunia luar, dengan hanya Sematan yang menjadi pekan paling hampir, lebih ‘selesa’ dihubungi dengan jalan laut.

Rancangan asal Pan Borneo hanyalah membabitkan laluan dari Sematan ke Miri sahaja, namun atas permintaan Ketua Menteri Sarawak keenam, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan pakej laluan 32.77km antara Teluk Melano dan Sematan yang membabitkan tambahan RM580 juta.

Seorang penduduk, Adenan Saba, 59, berkata apabila disiapkan, laluan itu akan memudahkan perjalanan penduduk ke Sematan, malah seterusnya ke bandar-bandar lain di Sarawak, memandangkan ketika ini penduduk terpaksa menggunakan bot untuk berurusan di Sematan, dan ia adakalanya berbahaya serta terbatas memandangkan pergerakannya bergantung kepada keadaan gelora laut.

Kedudukannya di kawasan telok menghadiahkan panorama pantai indah untuk ditawarkan oleh kira-kira 54 keluarga di kawasan ini buat pelancong, di samping makanan laut yang lazat, dan ketika ini terdapat 25 keluarga terbabit dengan program inap desa.

Menurut Adenan, laluan 32.77km yang dijangka siap pada 2019 itu pasti akan dapat membawa lebih ramai pelancong asing ke Telok Melano.

Sayangnya Allahyarham Adenan (Ketua Menteri) sudah tiada.

Jika beliau masih hidup, pasti beliau akan gembira melihat perkembangan ini,” katanya.

 Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menunjukkan pembangunan pesat bandar raya Kota Kinabalu kepada Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain yang jelas kelihatan dari Pejabat Ketua Menteri itu di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di Likas sebelum ditemu ramah berkaitan Pan Borneo di Sabah. Dalam temu ramah berkenaan, Musa percaya Pan Borneo Sabah bernilai RM12.88 bilion itu mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi Sabah. Fasa 1 706km dijangka siap p
TURUT TERLIBAT: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menunjukkan pembangunan pesat bandar raya Kota Kinabalu kepada Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain yang jelas kelihatan dari Pejabat Ketua Menteri itu di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di Likas sebelum ditemu ramah berkaitan Pan Borneo di Sabah. Dalam temu ramah berkenaan, Musa percaya Pan Borneo Sabah bernilai RM12.88 bilion itu mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi Sabah. Fasa 1 706km dijangka siap p

JALAN PELENGKAP

Jajaran Teluk Melano-Sematan merupakan salah satu daripada sembilan jajaran Pan Borneo yang disiapkan lebih awal berbanding perancangan, manakala tiga lagi jajaran mengalami sedikit kelewatan disebabkan sedikit kesulitan dalam soal pengambilan tanah, namun Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini memberi jaminan bahawa kerajaan komited keseluruhan 12 jajaran itu akan disiapkan mengikut jadual.

Selain Pan Borneo, Perdana Menteri turut memuktamadkan komitmen kerajaan untuk membina rangkaian jalan di kawasan pesisir pantai Sarawak bagi melancarkan pergerakan dari Sematan terus ke kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE), sebagai pelengkap kepada pembangunan lebuhraya tanpa tol itu.

Semasa melancarkan pembinaan Jambatan Batang Sadong yang bernilai RM231 juta tahun lepas Perdana Menteri berkata, selain Pan Borneo, satu lagi projek utama yang dijadikan keutamaan kerajaan pusat di Sarawak dalam beberapa tahun ini ialah rangkaian jalan raya pesisir pantai.

Jalan raya pesisir pantai merujuk kepada akses yang menghubungkan pekan-pekan seperti Kota Samarahan, Sadong Jaya, Sebuyau, Kabong, Tanjong Manis, Daro, Matu, Balingian, dan seterusnya ke utara menghala sehingga ke Bintulu, sebagai jalan raya sambungan kepada Pan Borneo.

Desakan tugas seorang kontraktor Abang Abdul Kadir, 38, memaksa beliau sering berurusan di pekan-pekan sekitar kawasan pesisir pantai yang dilihatnya berpotensi besar untuk maju ini, dan beliau boleh menceritakan betapa perjalanan ke utara negeri menerusi pekan-pekan ini boleh dipendekkan bagi menyediakan rangkaian jalan yang lebih efisien dan selesa buat penduduknya.

Beliau berkata, jambatan Batang Sadong benar-benar membantu ramai pengguna terutama sekitar Kota Samarahan dan Sadong Jaya memendekkan perjalanan mereka, namun untuk terus ke utara negeri, masih banyak laluan dan jambatan perlu dibangunkan.

Menurutnya, ketika ini beliau melihat kerajaan sedang gigih membangunkan persimpangan untuk melengkapkan hubungan antara kampung-kampung serta rumah-rumah panjang di pedalaman dengan lebuh raya mega ini, selaras dengan aspek ‘inklusif’ yang menjadi agenda utama kerajaan.

Berita mengenai keputusan kerajaan untuk membangunkan jambatan Batang Lupar, jambatan terpanjang di Sarawak yang bernilai RM1 bilion baru-baru ini benar-benar disambut dengan rasa gembira, bukan sahaja oleh beliau, tapi boleh dikatakan seluruh penduduk di kawasan pesisir periran Sarawak itu.

Rancangan pembinaan jambatan 5.1km itu telahpun diluluskan dengan dasar perkongsian 50-50 antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dan ia dijangka siap dalam tempoh antara 26 dan 60 bulan.

Selang beberapa hari kemudian, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pula mengumumkan keputusan kerajaan untuk membangunkan jambatan Batang Lassa bagi melengkapkan perjalanan darat dari Tanjung Manis ke Mukah, meyusuri pekan-pekan seperti Pulau Bruit, Daro dan Matu.

Menyusuri perjalanan darat dari Kuching menghala ke utara negeri ketika ini, pengguna lebuh raya dapat melihat dengan jelas di kiri dan kanan perjalanan, kerja-kerja pembersihan sedang gigih diusahakan, jengkaut berselerak di tepi jalan, pelbagai struktur binaan di tepi jalan sudah dimusnahkan, dan pembangunan fizikal dapat dilihat dengan ketara.

Pada masa yang sama, penduduk di bahagian tengah, menghulu sungai terpanjang Negara Sungai Rajang di pedalaman Kapit juga ketika ini menanti penuh sabar untuk menggunakan lebuh raya itu, namun sama seperti Teluk Melano, ia hanya dapat dihubungi dengan dunia luar menerusi bandar Sibu, yang ketika ini hanya dapat diaksesnya menerusi jalan sungai.

Kesungguhan Perdana Menteri untuk menyediakan laluan darat terserlah menerusi kunjungannya ke kawasan pedalaman Sarawak itu untuk melihat sendiri perkembangan projek jalan raya Jalan Kapit-Song-Kanowit-Sibu sepanjang 102 kilometer, membabitkan kos sekitar RM800 juta, yang dijangka siap menjelang 2019.

Menerusi catatan FB susulan lawatannya ke kawasan-kawasan ini tahun lepas, beliau menulis ‘Projek Jalan Kapit-Song-Kanowit-Sibu ini dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun setengah dan akan memberi manfaat kepada 100,570 penduduk sekitar Kapit, Kanowit serta Song dan mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan air’.

Seorang lagi kontraktor binaan Khairul Abdullah, 41, berkata, Sungai Rajang menjadi medium pengangkutan utama ke kawasan pedalaman sejak sekian lama, namun dengan peredaran zaman, kepentingan untuk mewujudkan laluan darat semakin bertambah mendesak.

Beliau melihat potensi besar baginya untuk meneroka kawasan baru yang boleh diakses dengan baik menerusi jalan darat khusus untuk memberi manfaat limpahan ekonomi kepada semua pihak, baik untuk kumpulan usahawan, mahupun peningkatan ekonomi buat penduduk setempat. — Bernama

 Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bersama Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan dan Industri Kecil Sederhana Sarawak Datuk Naroden Majais (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Husni Salleh pada majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Berkenaan Program Kemudahan Pembiayaan Kontraktor di Bawah Lebuhraya Pan Borneo di Kuching, Ogos lalu. — Gambar Bernama
GEMBLENG USAHA: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bersama Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan dan Industri Kecil Sederhana Sarawak Datuk Naroden Majais (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Datuk Husni Salleh pada majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Berkenaan Program Kemudahan Pembiayaan Kontraktor di Bawah Lebuhraya Pan Borneo di Kuching, Ogos lalu. — Gambar Bernama