Anda di sini

Khazanah, KWSP tingkat pelaburan di AS

Beli lebih banyak pesawat Boeing bagi MAB, KWSP djangka labur AS$3 bilion-AS$4 bilion

 Najib hadir bagi menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Kevin McAllister (duduk, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) Peter Bellew (duduk, kanan) di Hotel St Regis semalam. — Gambar Bernama
KERJASAMA: Najib hadir bagi menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman di antara Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Kevin McAllister (duduk, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) Peter Bellew (duduk, kanan) di Hotel St Regis semalam. — Gambar Bernama

WASHINGTON DC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di  Amerika Syarikat (AS) dan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu, umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, KWSP sahaja dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion (AS$1 = RM4.19) di negara tersebut.

Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS,” kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di sini, semalam.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.

Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB), “Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.

Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi AS$10 bilion,” katanya.

Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan tersebut, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner merupakan pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.

Perdana Menteri kemudiannya menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Malaysia Airlines dan Boeing Aircraft Corporation bagi pembelian pesawat serta membuka kemudahan penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih di Sepang, bernilai AS$3.9 bilion.

Perbincangan dengan Trump itu merupakan kemuncak lawatan kerja Najib ke AS dari 11-13 Sept atas jemputan daripada Presiden AS ke-45 itu yang memegang jawatan pada 20 Jan tahun ini.

Najib berkata kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.

Keduanya, kami memiliki KWSP, yang merupakan dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya. — Bernama