Anda di sini

Kenapa tergesa-gesa roboh bangunan bersejarah: GERAKAN

Advertisement

GEORGE TOWN: GERAKAN Pulau Pinang semalam mempersoalkan tindakan kerajaan negeri pimpinan DAP berhubung tindakan tergesa-gesa untuk meluluskan kerja merobohkan sebuah bangunan Kategori II di tapak warisan Peel Avenue pada Jun tahun ini sedangkan kelulusan bagi projek pembesaran Island Hospital belum diperoleh.

Pemangku Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang Jason Loo berkata, terdapat empat bangunan warisan di tanah berkenaan yang dikategorikan sebagai bangunan warisan Kategori II dalam senarai bangunan warisan negeri yang menghendaki setiap usaha dibuat untuk memuliharanya.

Adakah terdapat sebarang Penilaian Kesan Warisan yang dibuat sebelum kerajaan ne-geri DAP memberi kelulusan untuk meroboh bangunan warisan di tanah berkenaan. Jika projek pembesaran hospital tidak diluluskan, bagaimanakah mereka akan memulihkan semula projek yang bakal dirobohkan itu.

Sekiranya projek pembesaran hospital tidak diluluskan, adakah tapak warisan yang dirobohkan itu akan dimajukan dan dibangunkan dengan satu lagi projek komersial,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada Jun tahun ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah menjual tanah seluas 2.6 hektar bernilai RM156 juta di Peel Avenue di sini kepada Island Hospital Sdn Bhd bagi pembinaan projek ‘bandar perubatan’.

Lim dilaporkan berkata tanah yang dimiliki Perbadanan Ketua Menteri (CMI) telah diberi hak milik kepada hospital itu secara pajakan selama 99 tahun, dengan bayaran pendahuluan RM30 juta, manakala baki pembayaran akan disele-saikan dalam tempoh tiga bulan, selepas memperoleh lesen daripada Kementerian Kesihatan.

Loo mendakwa tiada run-dingan awam diadakan sebelum keputusan dibuat, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung tindakan tergesa-gesa untuk meluluskan pengezonan tanah dan perobohan bangunan warisan.

Beliau berkata penduduk di kawasan sekitarnya juga tidak pernah dimaklumkan sebelum kerajaan negeri menjual tanah itu kepada Island Hospital pada Disember 2016 selain tiada rundingan awam dibuat untuk mendapatkan pandangan penduduk sebelum mereka menandatangani  perjanjian untuk menjual tanah kerajaan.

Setelah mengetahui bahawa tanah itu telah dijual oleh CMI, saya tertanya-tanya berapa banyak lagi tanah yang telah dipindahkan kepada CMI. Saya bimbang jika kesemua tanah kerajaan di bawah CMI akan habis dijual dengan pantas dan mudah,” katanya.

Loo berkata kerajaan negeri mesti menjawab kesemua soalan yang dibangkitkan itu untuk membuktikan mereka masih percaya dan berpegang kepada slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus. — Bernama

Advertisement