Anda di sini

Jangan siar foto muka suspek tanpa dikaburkan - Dev

KUCHING: Portal berita dalam talian atau laman-laman Facebook dinasihatkan agar tidak menyiarkan foto suspek-suspek mana-mana kes jenayah tanpa menutup sebahagian muka bagi melindungi identiti mereka kepada orang ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar (gambar) berkata tindakan sedemikian boleh menyebabkan suspek dan keluarganya malu, merosakkan reputasi, trauma mental dan pandangan serong di kalangan masyarakat.

 

“Kami ingin menasihatkan media, terutama portal-portal berita dan laman-laman Facebook agar tidak menyiarkan gambar-gambar suspek tanpa mengaburi bahagian muka. 

“Suspek ini belum lagi dibuktikan bersalah di mahkamah dan mereka masih tidak bersalah selagi tidak dibuktikan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu merupakan susulan tangkapan tiga suspek wanita membabitkan satu kes dadah baru-baru ini.

Laman Facebook itu menyiarkan siaran media oleh Ketua Polis Daerah Kuching Abang Ahmad Abang Julai berserta tiga gambar muka suspek-suspek wanita terbabit dalam kes.

Siaran itu menerima ratusan komen daripada warga maya yang mengkritik laman Facebook itu kerana menyiarkan gambar-gambar suspek dan polis kerana memberi gambar-gambar itu, kata Dev.

Pagi ini, polis berjaya mengenalpasti individu berkaitan laman FB itu dan mengarahkan agar berita berserta gambar suspek dipadamkan. Ia kemudian dipadamkan.

“Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal memandang serius perkembangan ini dan mengarahkan siasatan dalaman dilakukan terhadap penyaluran foto-foto polis kepada media. 

“Individu yang menyalurkan foto-foto itu akan berhadapan tindakan disiplin,” kata Dev.