Anda di sini

Buaya Sungai Bakong ancam pelajar ditangkap, daging diagih untuk dimakan

MARUDI: Seekor buaya sepanjang 16 kaki yang memakan umpan daging ular sawa berjaya ditangkap di Sungai Temiang di Sungai Bakong di sini pagi kelmarin.

Tuai Rumah (TR) Nyegang Nawing bersama pawang buaya dikenali sebagai Agong disertai penduduk Sungai Temiang mengumpan buaya berkenaan setelah menerima aduan ibu bapa sering diganggu dan diekori buaya sungai itu ketika menghantar anak ke sekolah  di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Arang Bakong mengguna perahu.

Menurut sumber, TR Nyegang memasang kail berumpan daging ular sawa di beberapa lokasi sepanjang Sungai Bakong pada 11 September.

Beliau kemudian turun memeriksa kail keesokan harinya sekitar jam 11 pagi menemui salah satu kail di hilir SK Sungai Arang berjaya memancing buaya berkenaan.

Setelah berhempas pulas menaik buaya berkenaan, beliau dan beberapa penduduk kemudian membawanya pulang ke rumah panjang jam 2 petang sebelum membunuhnya.

Sumber itu menjelaskan, kulit buaya itu dilapah manakala daging diagih kepada penduduk rumah panjang yang mahu memakannya.

Katanya memberitahu Utusan Borneo di sini, kebimbangan penduduk meruncing selepas buaya berkenaan bertindak ganas menyebabkan perahu milik bapa salah seorang pelajar pecah.

 “Justeru sebelum perkara tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi keselamatan anak kami, maka tuai rumah mengambil keputusan memburu buaya berkenaan bersama beberapa penduduk,”katanya.

Sungai Bakong merupakan salah sebuah sungai di Baram terkenal dengan jumlah buaya yang banyak.

Warna air sungainya coklat, dikatakan memberi kelebihan untuk buaya-buaya ini menghuni dan membiak di sungai berkenaan.