Anda di sini

Atlet BMX Sarawak azam tingkat prestasi

Advertisement

KUCHING: Kegagalan untuk meraih podium pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur bulan lepas tidak mematah semangat atlet BMX Sarawak, Ariana Nurminda Arifin.

 Sebaliknya, atlet berusia 20 tahun itu berikrar meningkatkan prestasinya untuk menghadapi temasya SUKMA 2018 di Perak.

 Meskipun sekadar menduduki tempat keempat pada Sukan SEA lepas, atlet kelahiran Kuching itu tetap berpuas hati dengan pencapaiannya di Kuala Lumpur.

 Ini kerana beliau berjaya mencapai sasaran untuk menduduki kelompok lima pelumba terbaik pada penampilan sulungnya di temasya antarabangsa itu.

 “Ia pengalaman yang amat berharga bagi saya kerana buat pertama kalinya dapat bertanding di kejohanan antarabangsa.

 “Walaupun gagal menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat, saya tetap berpuas hati kerana sasaran saya untuk berada dalam kelompok lima pelumba terbaik,” katanya semalam.

 Ariana yang baharu kembali beberapa hari lalu berkata, latihan bersama jurulatih kebangsaan amat memuaskan kerana beliau diberikan masa yang mencukupi untuk membuat persiapan.

 Tambahan pula, beliau dapat menjalani latihan menggunakan trek yang bersesuaian di sana berbanding di Kuching di mana treknya sedang dinaik taraf untuk menepati standard antarabangsa.

 Di Kuching, Ariana menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih negeri, Leon Schepers.

 “Saya mahu menyertai lebih banyak pertandingan Sukan SEA selepas ini.

 “Sasaran saya selepas ini untuk membuat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi SUKMA 2018 dan saya mahu meraih podium kerana ia akan menjadi SUKMA terakhir saya,” katanya lagi.

 Pada SUKMA 2016 di sini, Ariana berjaya melangkah ke final acara BMX namun tidak bernasib baik selepas terkeluar dari perlumbaan akibat kemalangan.

 Beliau antara 52 atlet Sarawak yang terpilih mewakili negara pada Sukan SEA lepas.

Advertisement