Anda di sini

Pemilik butik kena lima tahun, memiliki dadah 56.43 gram

Advertisement
 Rubiah (kiri) bersama peguamnya Hairul di luar mahkamah.
BERSALAH: Rubiah (kiri) bersama peguamnya Hairul di luar mahkamah.

KOTA KINABALU: Seorang pemilik butik dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas kesalahan memiliki dadah seberat 56.43 gram.

Rubiah Lahani Abdul Rahman, 33, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Datuk Nurchaya Arshad, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif.

Sebelum ini, tertuduh berhadapan dengan hukuman gantung mandatori apabila didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun tertuduh bernasib baik apabila pertuduhan terhadapnya dikurangkan kepada Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara minimum lima tahun atau seumur hidup dan tidak kurang daripada 10 sebatan. Namun tiada sebatan dikenakan terhadap pesalah wanita.

Rubiah didapati memiliki dadah jenis Methamphetamine berkenaan pada 17 Mei tahun lalu jam 4.10 pagi, di restoran makanan segera KFC, Kompleks Karamunsing, di sini.

Peguam Hairul V.Othman dalam rayuan bertulisnya memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan dengan mengambil kira pengakuan salah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Selain itu, tertuduh yang menjalankan perniagaan butik seorang pesalah pertama dan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa selepas kejadian berkenaan.

Tambahnya, tertuduh ‘sudah dihukum’ apabila risau memikirkan pertuduhan yang didakwa kepadanya yang menyebabkannya berhadapan dengan tali gantung.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya Gan Peng Kun meminta hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kesalahan.

Tegasnya, pengakuan salah tidak melayakkan tertuduh mendapatkan hukuman yang lebih ringan dan jenayah seperti itu kerap berlaku di negara ini.

Advertisement