Anda di sini

Inisiatif produktiviti yang mantap sediakan Malaysia hadapi Industri 4.0

Advertisement

PUTRAJAYA: Inisiatif-inisiatif produktiviti yang mantap akan menyediakan rakyat Malaysia dalam menghadapi Industri 4.0, kata Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Tan Sri Azman Hashim.

Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang didorong oleh produktiviti buruh sebanyak 3.5 peratus pada 2016, mencerminkan bahawa ia sedang bergerak daripada intensif buruh, dan menuju ke arah faktor pendorong yang berbentuk digital serta teknologi.

Ini adalah pola yang dimaksudkan sebagai ekonomi yang didorong oleh produktiviti, di mana produktiviti menjadi faktor utama yang akan memecahkan sempadan ke arah Industri 4.0. Inisiatif-inisiatif produktiviti ini akan melengkapkan rakyat kita bagi menghadapi era perindustrian yang baharu,” katanya pada pembukaan Forum Antarabangsa Mengenai Produktiviti di sini semalam.

Katanya, bagi mempercepatkan dan mengekalkan produktiviti negara, strategi yang dinamik serta berhala tuju perlu dipakai untuk memantau dan menilai kemajuan pelbagai inisiatif yang berkaitan dengan produktiviti di seluruh kementerian, agensi dan penggiat industri.

Saranan ini menunjukkan kepentingan untuk kerjasama yang lebih rapat antara pelbagai pihak yang berkepentingan dalam mencapai objektif produktiviti yang lebih tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat kita,” katanya.

Azman berkata, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) dengan matlamat untuk mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.7 peratus dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020).

Pelan tindakan itu membentangkan pendekatan yang holistik ke arah memanfaatkan potensi produktiviti negara dengan menangani cabaran-cabaran produktiviti di peringkat kebangsaan, sektor dan perusahaan,” katanya.

Sementara itu, forum sehari tersebut telah menarik 300 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil industri, persatuan perdagangan, pegawai-pegawai kerajaan dan ahli akademik. Ia bertemakan, “Challenging the Frontier, Empowering People”.

Forum ini membolehkan semua pihak yang berkepentingan dengan perspektif global, berkongsi pengalaman dalam menangani cabaran-cabaran dasar untuk pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi termasuk membincangkan pelaksanaan program-program yang meningkatkan produktiviti. — Bernama

Advertisement