Anda di sini

UPSR di seluruh Sarawak berjalan lancar

Advertisement

Banjir di Sri Aman, Betong dan Sibu tidak menjejaskan calon pada hari pertama peperiksaan

 Seramai 124 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan Dato Traoh di Kota Samarahan mula memasuki bilik peperiksaan.
LANCAR: Seramai 124 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan Dato Traoh di Kota Samarahan mula memasuki bilik peperiksaan.
 Hari pertama UPSR di 1,286 pusat peperiksaan berjalan lancar meskipun beberapa kawasan dilanda banjir.
UPSR DI SARAWAK LANCAR: Hari pertama UPSR di 1,286 pusat peperiksaan berjalan lancar meskipun beberapa kawasan dilanda banjir.

KUCHING: Hari pertama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula semalam di 1,286 pusat peperiksaan di seluruh negeri berjalan lancar meskipun beberapa kawasan dilanda banjir.

Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon berkata, banjir yang berlaku di Sri Aman, Betong dan Sibu tidak menjejaskan calon UPSR untuk menduduki kertas Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris pada hari pertama peperiksaan tersebut semalam.

Apa yang dimaklumkan kepada saya pada hari ini (semalam) kesemua pusat peperiksaan tidak terjejas akibat banjir dan semua calon menduduki peperiksaan dengan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Malah, Rakayah memberitahu bahawa pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memantau keadaan di kawasan terjejas akibat banjir.

Kami dibantu oleh bomba dan APM bagi menghantar murid dan guru di kawasan yang terjejas akibat banjir ini untuk ke pusat peperiksaan.

Dan saya dimaklumkan juga bahawa banjir ini hanya berlaku di jalan masuk dan padang sekolah sahaja dan ia tidak menjejaskan pusat peperiksaan di sekolah berkenaan,” tambahnya.

Antara sekolah yang terjejas akibat banjir ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Ng Lidong di Betong manakala tiga sekolah di Sibu iailah SK St Mark, SK Tanjung Latap, dan SK Nanga Assan.

Rakayah berkata pada tahun ini seramai 41,317 calon UPSR menduduki ujian itu di 1,286 pusat peperiksaan seluruh Sarawak.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 31,180 calon atau 75.47 peratus akan menduduki UPSR dalam aliran bahasa Melayu, sementara 10,137 lagi atau 24.54 peratus akan menduduki UPSR dalam aliran bahasa Cina.

Jelasnya, bagi SK, UPSR dijalankan bermula semalam hingga 14 September ini manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina pula bermula semalam hingga 18 September ini.

Seramai 320 penyelia kawasan dan 5,027 pengawas peperiksaan terlibat dalam pengendalian ujian ini,” tambahnya.

Selain itu, Rakayah turut mengingatkan  semua calon supaya menyemak jadual waktu ujian dan membawa kad pengenalan atau surat beranak atau borang pengenalan diri dan kenyataan kemasukan ke pusat peperiksaan pada setiap hari peperiksaan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri di talian 082-473538 atau 082-473520 atau Unit Penilaian Peperiksaan di Pejabat Pendidikan Daerah berhampiran,” ujarnya.

 Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan Dato Traoh di Kota Samarahan bersalaman dengan ibu bapa dan guru.
SEMOGA BERJAYA: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan Dato Traoh di Kota Samarahan bersalaman dengan ibu bapa dan guru.
 Suasana bilik peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Dato Traoh, Kota Samarahan.
JANGAN BISING: Suasana bilik peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Dato Traoh, Kota Samarahan.
  • oleh
  • Advertisement