Anda di sini

Raja Muda Kedah dimasyur Sultan Kedah yang baharu

Advertisement

ALOR SETAR: Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29  menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit di sini hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Almarhum Sultan Abdul Halim mangkat pada 2.30 petang semalam di istana tersebut.

Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah adalah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja yang turut dianggotai menteri besar sebagai Yang Dipertua majlis berkenaan.

Setelah dimasyhurkan, Pengelola Bijaya Diraja/Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudiannya menghadap Tunku Sallehuddin untuk mengiringi baginda ke singgahsana yang terletak di Dewan Penghadapan.

Syed Unan kemudiannya melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali  yang disambut oleh  hadirin dan serentak itu paluan nobat dan tiupan nafiri dikumandangkan.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadil Awang.

Tunku Sallehuddin kemudiannya menyentuh peterana Almarhum Sultan Abdul Halim, menandakan istiadat pemakaman akan dimulakan.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Puan Muda Kedah Tengku Maliha Tengku Ariff, Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Salehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Tunku Sallehuddin diisytiharkan sebagai Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah menggantikan Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang mangkat pada 21 Mei 2014 dan memegang jawatan itu sehingga 12 Dis tahun lalu.

Pada 15 Dis lepas baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah setelah Sultan Abdul Halim kembali memayungi negeri Kedah selepas lima tahun bersemayam di Istana Negara sebagai Yang di-Pertuan Agong - BERNAMA

Raja Muda Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah berkenan mengaminkan doa selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang baharu menggantikan Almarhum kekandanya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit hari ini. Pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di istana tersebut setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja. - Foto BERNAMA

Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29 di Istana Anak Bukit hari ini.Tunku Sallehuddin menggantikan Almarhum kekandanya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mangkat 2.30 petang semalam. - Foto BERNAMA