Anda di sini

Ekonomi terus berkembang

 Abang Johari (empat kanan) meraikan hari jadi Tun Taib (tiga kanan) di Dataran Perayaan, Stadium Sarawak semalam. Turut kelihatan Ragad (dua kanan) dan (dari kanan) Juma’ani, Awang Tengah, Uggah dan Masing.
RAIKAN BERSAMA: Abang Johari (empat kanan) meraikan hari jadi Tun Taib (tiga kanan) di Dataran Perayaan, Stadium Sarawak semalam. Turut kelihatan Ragad (dua kanan) dan (dari kanan) Juma’ani, Awang Tengah, Uggah dan Masing.
 Tun Taib diiringi Abang Johari memeriksa kontinjen pembarisan di Dataran Perayaan, Stadium Sarawak di Petrajaya, Kuching semalam.
PERIKSA: Tun Taib diiringi Abang Johari memeriksa kontinjen pembarisan di Dataran Perayaan, Stadium Sarawak di Petrajaya, Kuching semalam.

   Sarawak diyakini kekal pertumbuhan ekonomi positif biarpun berdepan ketidaktentuan global: KM

KUCHING: Ekonomi Sarawak diyakini terus berkembang antara 3.5 peratus dan 4.0 peratus pada tahun ini disokong oleh peningkatan eksport dan peningkatan ekonomi di bahagian lain di dunia.

Ketua Menteri Datuk Paatinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak dapat mengekalkan pertumbuhan ekonomi positif pada 3.2 peratus tahun lepas meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan global dan kejatuhan harga minyak.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) kita pada tahun 2016 adalah RM113.6 billion  manakala perdagangan luar kita bernilai RM116.3 billion dengan GDP per kapita RM46,514.

Cabaran untuk kita hari ini adalah bagaimana untuk melonjakkan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi  bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.

Kita mahu memastikan ekonomi kita berkembang dan menyediakan lebih impak serta meningkatkan pendapatan rakyat kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Acara Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Jadi Ke-81 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bertempat di Dataran Perayaan, Stadium Negeri di sini semalam.

Acara semalam bermula sebaik ketibaan Tun Taib pada jam 9 pagi bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menteri-menteri kabinet serta yang lain. 

Dalam bidang pendidikan pula, menurut Abang Johari, kerajaan menyedari bahawa semua yang dirancang tidak dapat direalisasikan jika kita tidak mempunyai atau tidak membangun modal insan.

Sarawak, katanya, telah mengambil langkah dengan membangun pusat Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi keperluan industri sebagai tambahan kepada apa yang disediakan oleh kerajaan persekutuan.

Usaha kita untuk mendigitalkan ekonomi Sarawak memerlukan pelbagai jenis kepakaran yang mana sangat terhad atau masih belum dimiliki oleh kita.

Atas sebab itu, saya telah meminta Yayasan Sarawak untuk menawarkan dermasiswa kepada disiplin baharu pengajian menerusi Bursari Pendidikan Taib untuk membangun kepakaran dalam pelbagai bidang,” katanya.

Tambah Abang Johari, Yayasan Sarawak kini mempunyai kapasiti tawaran pinjaman dan biasiswa termasuk untuk mereka yang mahu membuat penyelidikan di peringkat Sarjana dan Kedoktoran (PhD) daripada RM9 juta sebelum ini.

Malah, Yayasan Sarawak kini mempelawa permohonan bagi 23 kursus penyelidikan termasuk biokimia, genetik, biologi molekular, pengkomputeran, data analitik, ‘big data’ dan telemetri, kejuruteraan perisian, mikrobiologi dan lain-lain.

Ini adalah kursus-kursus baharu yang diputuskan oleh kerajaan untuk tawaran dalam usaha mempersiapkan pembangunan Sarawak menerusi ekonomi digital,” katanya.