Anda di sini

Kereta mewah terbakar

Advertisement

Dua kereta mewah musnah terbakar dalam dua kejadian berasingan.

 Kereta mewah terbakar selepas dirempuh sebuah lagi kereta mewah.
HANGUS: Kereta mewah terbakar selepas dirempuh sebuah lagi kereta mewah.

MIRI: Dua kereta mewah musnah terbakar dalam dua kejadian berasingan malam kelmarin (Ahad) di sini namun tidak meragut sebarang nyawa.

Dalam kejadian pertama di simpang Jalan Jee Foh 9, Krokop di sini, sebuah kereta mewah dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun terbakar selepas bertembung dengan sebuah kenderaan mewah lain.

Kejadian berlaku sekitar jam 6.40 petang apabila pemandu terbabit dari arah Piasau menuju ke pusat bandar dilanggar sebuah lagi kereta mewah dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun dari arah bertentangan.

Perlanggaran berlaku apabila pemandu terbabit difahamkan membelok masuk secara tiba-tiba ke simpang sebelah kanan menyebabkannya merempuh dan menyebabkan terbabas ke bahu jalan sebelum terbakar.

Pemandu kereta tersebut berjaya dikeluarkan dari kenderaannya sebelum terbakar dan kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala mangsa dalam kenderaan sebuah lagi tidak mengalami sebarang kecederaan berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

Meskipun keretanya remuk dengan teruk di bahagian hadapan namun tidak terbakar.

Sementara itu, sepasukan bomba dan penyelamat tiba di lokasi kejadian jam 6.50 petang selepas menerima panggilan daripada orang awam jam 6.44 petang dan berjaya memadamkan api yang marak membakar kereta terbabit.

Anggota bomba dan penyelamat seramai enam orang diketuai Pegawai Bomba Kanan Thomas Bigau berjaya mengawal kebakaran dan api dipadamkan sepenuhnya menjelang jam 7.18 malam.

 Bahagian hadapan salah satu kereta mewah remuk namun tidak terbakar.
REMUK: Bahagian hadapan salah satu kereta mewah remuk namun tidak terbakar.

Dalam insiden berasingan, sebuah kereta mewah turut terbakar 100 peratus selepas pemandunya hilang kawalan dan merempuh papan tanda di hadapan simpang masuk Jalan Miri-Marudi jam 7 malam hari yang sama.

Mangsa dalam perjalanan dari Bekenu ke Miri, hilang kawalan lalu merempuh papan tanda tersebut sebelum keretanya terbakar.

Bagaimanapun, mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan.

Sepasukan anggota bomba dan penyelamat terdiri daripada tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian terletak 18 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng di sini dan tiba di lokasi jam 7.33 malam.

Sebaik tiba, kereta terbabit sudah terbakar 100 peratus dan bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya jam 7.58 malam.

Punca kebakaran kedua-dua kenderaan tersebut masih dalam siasatan.

 Kereta mewah terbakar keseluruhan semasa anggota bomba tiba di lokasi kemalangan.
TERBAKAR: Kereta mewah terbakar keseluruhan semasa anggota bomba tiba di lokasi kemalangan.
  • oleh
  • Advertisement