Anda di sini

Mayat mendiang Jackson dibawa pulang ke kampung halaman

SIBU: Mayat mendiang Jackson Nuing Awe, 7, telah dihantar pulang ke kampung halamannya di Rumah Jamit, Sungai Pila, Nanga Merit, pagi tadi.

Menurut seorang ahli keluarganya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sibu, proses bedah siasat ke atas mangsa selesai pada jam 4.30 petang semalam.

"Bedah siasat telah pun dijalankan sejak dari jam 10 pagi semalam dan ia selesai pada jam 4.30 petang semalam.

"Setelah semua prosedur dan proses selesai untuk menuntut mayat mangsa, kami dibenarkan untuk membawa mayat mangsa ke kampung halamannya," katanya kepada pemberita.

Turut bersama mengiringi mayat Jackson adalah ayahnya Awe Lanyo serta beberapa ahli keluarga yang lain.

Mayat Jackson dikeluarkan dari bilik Mayat Hospital Sibu pada jam 8 pagi tadi dan terus dibawa oleh kenderaan hospital menuju ke Pengkalan Nanga Semaram, Kanowit dan tiba di situ pada jam 9 pagi tadi.

Dari pengkalan tersebut, sebuah bot milik pihak sekolah mendiang dari Kapit sudah pun menunggu untuk proses urusan penghantaran mayat.

Ahli keluarga beserta mayat Jackson telah pun tiba di bandar Kapit pada jam 11 pagi tadi untuk berhenti mengisi petrol.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Sungai Pila, Nanga Merit dan dijangka tiba di Rumah Jamit jam 3 petang ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal ketika dihubungi sebentar tadi memberitahu bahawa proses bedah siasat sudah dijalankan ke atas mayat mangsa.

Bagaimanapun, jelasnya ia masih belum dapat didedahkan ketika ini.

"Kita masih belum dapat mendedahkan keputusan bedah siasat buat masa ini sehingga siasatan penuh dijalankan," katanya lagi.

 Kelihatan Awe (berbaju hitam, duduk hadapan keranda) serta ahli keluarga lain ketika bertolak dari Pengkalan Semaram, Kanowit.
SEDIH: Kelihatan Awe (berbaju hitam, duduk hadapan keranda) serta ahli keluarga lain ketika bertolak dari Pengkalan Semaram, Kanowit.
 Van dari hospital ketika membawa keranda Jackson di bilik mayat Hospital Sibu, pagi tadi.
BAWA PULANG: Van dari hospital ketika membawa keranda Jackson di bilik mayat Hospital Sibu, pagi tadi.