Anda di sini

Kes buli: Rumah mayat Hospital Sibu diselubung pilu sepanjang bedah siasat

Advertisement

SIBU: Suasana sedih menyelubungi rumah mayat Hospital Sibu sejak jam 10 pagi tadi tatkala ibu bapa dan sanak saudara kepada murid tahun satu yang mati dipercayai akibat dipukul pelajar tahun enam di asrama sebuah sekolah di Kapit malam Isnin lalu. 

Mangsa yang dikenali sebagai Jackson Nuing Awe, tujuh tahun menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sibu pada jam 3.30 petang Khamis lalu.

Jackson, anak bongsu daripada tiga beradik.
Jackson, anak bongsu daripada tiga beradik.

Ayah mangsa Awe Lanyo bersama isterinya (enggan nama disiarkan), masing-masing 35 tahun kelihatan masih sedih atas kematian anak bongsu mereka. 

Ketika ditanya, ayah mangsa memberitahu bahawa Jackson merupakan anak lelaki tunggal daripada tiga beradik termasuk dua orang kakak  berumur 14 tahun dan 10 tahun. 

Menurutnya, kakak sulung mangsa tidak bersekolah lagi dan kini dijaga oleh adik iparnya yang tinggal di Flat Sibu Jaya dekat sini.

Menceritakan kisah ketika menerima berita yang mengejutkan itu pada 22 Ogos lalu, Awe memberitahu seorang guru sekolah memaklumkan anaknya dibawa ke Klinik Desa di Nanga Merit kerana tidak sedarkan diri dan perlu dirujuk ke Hospital Kapit sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan lanjut sehingga dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Dalam keadaan sebak ayah mangsa memberitahu kali terakhir beliau dan isterinya berjumpa dengan mangsa di kawasan sekolah semasa menghantar sehelai baju kemeja yang dipesan anaknya melalui seorang bapa saudara yang bekerja sebagai pemotong rumput di sekolahnya. 

"Dia (mangsa) terus memeluk kami berdua (ibu bapa) sambil mengusap air matanya," katanya. 

Apabila ditanya kenapa dia menangis, mangsa hanya berdiam diri mungkin terlalu gembira selepas mendapat baju kemeja yang dipesannya.

Bapa mangsa yang kelihatan sugul semasa menunggu proses bedah siasat di Hospital Sibu hari ini.
Bapa mangsa yang kelihatan sugul semasa menunggu proses bedah siasat di Hospital Sibu hari ini.

Menurut ayahnya lagi, mangsa dan kakaknya akan pulang ke rumah panjang mereka iaitu Rh Jamit, Sungai Pila, Nanga Merit iaitu sejauh 30 minit sehingga satu jam perjalanan menaiki bot panjang dari sekolah mereka dua minggu sekali. 

"Anak kami tidak pernah mengadu bahawa dia pernah diganggu atau dibuli budak-budak lain di sekolahnya. 

"Ini merupakan kali pertama anaknya mengalami kecederaan yang teruk selepas dibelasah budak tahun enam berkenaan," katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap selain daripada menjadi petani.

Katanya, dia pernah bekerja sebagai buruh kasar ketika mengikut adik iparnya bekerja di Sibu dua bulan lepas tetapi terpaksa balik ke kampung untuk membaiki 'bilik' di rumah panjang. 

Menurut Awe, ini merupakan hari ke empat mereka berada di Hospital Sibu dan telah 'menunggu' selama dua malam untuk menuntut mayat anaknya sebelum upacara pengkebumian dapat dilakukan kemungkinan pada Selasa depan. 

"Saya berharap mayat anak saya dapat dibawa pulang esok pagi selepas proses bedah siasat ini selesai petang ini," ujarnya sambil menambah urusan penghantaran sehingga pengkebumian anaknya akan diuruskan pihak sekolah. 

Sementara itu proses bedah siasat tersebut dilakukan oleh pakar patologi Dr Norliza Ibrahim dari Kuching bermula sejak jam 10 pagi tadi. 

Sehingga berita ini ditulis keputusan bedah siasat belum dapat diperolehi untuk mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 

  • oleh
  • Advertisement