Anda di sini

20,000 pengunjung dijangka meriah Pesta Simunjan 2017

Advertisement

KUCHING: Jawatankuasa pengelola Pesta Simunjan 2017 menjangka 20,000 pengunjung bakal memeriahkan pesta dari 29 September hingga 1 Oktober tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan yang juga naib pengerusi jawatankuasa induk Awla Dris berkata, mereka menjangka pengunjung lebih ramai kali ini memandangkan aksesibiliti yang lebih mudah dengan adanya Jambatan Batang Sadong.

“Pada penganjuran Pesta 2015, kita telah berjaya menarik 10,000 penunjung dan kali ini jawatankuasa induk menjangka jumlah pengunjung dua kali ganda iaitu 20,000 pengunjung.

“Pelbagai aktiviti diadakan sempena pesta ini nanti dan kita berharap ramai pengunjung datang bersama memeriahkannya sama ada dari Kuching, Samarahan, Serian mahupun Sri Aman,” katanya pada sidang media mengenai Pesta Simunjan 2017 di sini, semalam.

Pesta Simunjan bertempat di Tebingan Batang Sadong itu akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri pada 30 September.

Sementara majlis penangguhan pada 1 Oktober 2017 juga di tempat yang sama dijangka disempurnakan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menurut Awla, antara aktiviti yang diadakan semasa Pesta Simunjan termasuk Regata Batang Sadong, pesta makan buah-buahan, sukan darat, pertandingan poco-poco, ratu pesta Simunjan, pertandingan petunjukan fesyen kanak-kanak dan banyak lagi.

Turut menjadi tarikan pada kali ini ialah Pertandingan Gendang Melayu dan Pertandingan Menopeng apabila mendapat penyertaan daripada Brunei Darussalam dan Sabah.

“Objektif penganjuran antaranya sebagai wadah untuk mewujudkan interaksi yang baik antara masyarakat berbilang kaum yang ada di Daerah Simunjan yang mampu menjurus kepada perpaduan dan perasaan saling menghormati antara satu sama lain.

“Ia juga mewujudkan peluang perniagaan dan menonjolkan kepelbagaian produk hasil tani Daerah Simunjan, khasnya pertanian dan hasil sungai, di mana antara keunikan kita adalah ikan Labang,” katanya.

Dengan penyertaan daripada luar negara seperti Brunei serta Sabah, beliau menjelaskan ia memberi peluang kepada masyarakat Simunjan memperkenalkan produk mereka kepada luar.

Advertisement