Anda di sini

Pesta Lundu 2017 dijangka tarik lebih 100,000 pengunjung

Advertisement
 Jamilah menunjukkan keratan akhbar Utusan Borneo mengenai Regata Lundu yang berlangsung sempena Pesta Lundu 2017 yang bermula hari ini sehingga Ahad.
JANGAN KETINGGALAN: Jamilah menunjukkan keratan akhbar Utusan Borneo mengenai Regata Lundu yang berlangsung sempena Pesta Lundu 2017 yang bermula hari ini sehingga Ahad.

KUCHING: Penganjuran Pesta Lundu 2017 yang bermula hari ini (Jumaat) sehingga Ahad dijangka akan menarik lebih 100,000 pengunjung.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu, pengunjung yang hadir akan dapat menikmati keindahan khazanah semula jadi yang terdapat di Lundu seperti pantai, air terjun, makanan di medan selera selain menyaksikan acara sepanjang Pesta Lundu.

Beliau yang juga merupakan penaung Pesta Lundu 2017 berkata, menerusi perancangan aktiviti beberapa penambahbaikan acara baharu turut akan diadakan termasuk program keselamatan berbasikal, persembahan paramotor, perahu berhias, ekspo pertanian, showcase SDSI, penggunaan LED serta ‘live’ di skrin.

Perancangan pesta telah dibuat oleh Pejabat Daerah Lundu sejak dua bulan lalu dan kerjasama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan agensi di Lundu dan Kuching,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Menurutnya, penganjuran Pesta Lundu secara langsung memberi manfaat kepada penjaja tempatan, perniagaan inap desa, tempahan dan sewaan pengangkutan, perkhidmatan katering, projek dan teknologi pertanian atas sumber maklumat dan bimbingan daripada agensi berkaitan.

Katanya, dari segi sosial ia dapat mengeratkan perpaduan kaum menerusi penglibatan masyarakat dalam gerai jualan, pameran pelbagai agensi kerajaan, pertandingan memasak, street soccer, pameran pencegahan dadah, aktiviti belia serta keluarga.

Pesta Lundu semakin menarik menerusi penambahan acara Regata Lundu khasnya acara terbuka, perahu berhias, wau berapi, paramotor, ekspo pertanian, pentas SDSI dan Puteri Glam,” jelasnya.

Mengenai perancangan katanya, penganjur juga akan meningkatkan kemudahan kawasan tarikan baharu seperti Air Terjun Jangkar, Air Terjun Sebat, Telok Melano, Pantai Pandan, Pantai Pugu dan sebagainya.

Penduduk tempatan dapat manfaat dari segi ekonomi lebih-lebih lagi sektor ekopelancongan dengan adanya akses Pan Borneo,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil contoh penganjuran luar negara untuk mempertingkatkan kualiti penganjuran selari dengan polisi semasa.

Sementara itu, seramai 32 orang menyertai Pertandingan Memancing Udang Galah sempena Pesta Lundu 2017.

Advertisement