Anda di sini

Penglibatan sekolah, pelajar penting cegah dadah

Advertisement
 Fatimah (empat kanan) bersama wakil pertubuhan yang menerima cek MRP di pejabatanya semalam.
GERAN MRP: Fatimah (empat kanan) bersama wakil pertubuhan yang menerima cek MRP di pejabatanya semalam.

KUCHING: Usaha pelbagai pihak yang lebih fokus dengan melibatkan sekolah serta pelajar amat penting untuk mencegah masalah dadah terus berlaku di kalangan pelajar sekolah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah berkata, intervensi sekarang ini perlu dijalankan lebih fokus juga dengan melibatkan komuniti setempat selain sekolah dan pelajar.

“Ini kerana statistik bagi jenayah ragut, jenayah jalanan dan pecah rumah kadangkala berkaitan dengan kes penagihan dadah di mana kita harus melihat dadah ini dengan sangat serius sekali.

“Lebih-lebih lagi sekarang ini, kita sudah melihat ia melibatkan pelajar sekolah dan apabila pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengadakan ujian air kencing di sekolah tertentu didapati ada yang positif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada pertubuhan di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah akhbar nasional sebelum ini terdapat 402 sekolah seluruh negara telah dikenal pasti sebagai kawasan panas bagi masalah disiplin dan dadah dengan 10 daripada sekolah dari Sarawak.

Antaranya yang tersenarai terletak di Kuching, Padawan, Bau, Sri Aman, Miri, Baram, Lawas, Simunjan, Samarahan dan Bintulu.

Fatimah bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sekolah-sekolah terbabit kerana kurang pasti sama ada apa yang dikategorikan itu melibatkan dadah atau disiplin sekolah sahaja.

“Kita tidak pasti bagaimana ia dikategorikan, adakah sekolah itu bermasalah dadah (satu kategori) atau adakah sekolah yang ada masalah disiplin tidak termasuk dadah… itu yang kita tidak pasti,” ujarnya.

Menurut beliau apa yang penting kini, program intervensi kerana pelajar yang menjadi sasaran kepada ‘pengedar’ akan membinasakan mereka yang akan menjadi ketagih.

Beliau pada masa yang sama menyeru kepada semua terutama kalangan masyarakat supaya tampil memberi maklumat sekiranya ada individu yang dikenali menagih dadah bagi mengelakkan perkara itu berterusan.

“Jika tidak dimaklumkan ia bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga tetapi anak-anak itu sendiri yang kita bimbang akibatnya seperti mana yang saya telah nyatakan bahawa ia berkaitan dengan jenayah,” tegas beliau.

Fatimah berkata memandangkan masalah sosial di bawah jagaan kementeriannya maka pihaknya dipertanggungjawabkan tentang kesejahteraan sosial dan dadah adalah salah satu daripada isu yang menggugat kesejahteraan itu.

Jelas beliau, AADK misalnya tahu apa yang patut dilakukan tetapi masih lagi memerlukan maklumat yang penting.

“Mereka hanya perlu memaklumkan kepada AADK dan mereka akan melindungi tanpa mendedahkan nama di mana pihak AADK akan mengambil tindakan dan susulan apabila didapati positif di mana intervensi sangat diperlukan,” katanya.

Terdahulu pada penyerahan cek itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menyampaikan sejumlah RM19,000 kepada empat pertubuhan bagi cek MRP ADUN Dalat iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Murni (RM10,000), Carnation Club of Kuching and Samarahan (RM5,000), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (RM3,000) dan Kelab Sukan Penjara Sarawak (RM1,000).

  • oleh
  • Advertisement