Anda di sini

Pelajar IPT larikan kanak- kanak dituduh hari ini

Advertisement

PORT DICKSON: Suspek utama yang dipercayai melarikan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dari rumahnya di Kuarters Politeknik Port Dickson pada 14 Ogos lepas, akan dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Zainudin Ahmad berkata, suspek berusia 21 tahun itu merupakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Port Dickson akan dituduh atas sembilan pertuduhan.

Zainudin berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 4 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017; Seksyen 4 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017; Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995.

“Kita sebenarnya telah tahan tiga suspek yang masing-masing merupakan sepupu berusia 18 hingga 21 tahun. Tetapi hanya seorang yang akan dituduh manakala dua lagi akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, semalam.

Zainudin berkata, berdasarkan hasil siasatan yang diperoleh, suspek dipercayai cuba melakukan serangan seksual terhadap mangsa ketika melarikan mangsa berkenaan.

“Mangsa telah dilarikan dan dibawa ke rumah suspek yang kebetulan ketika itu keluarga suspek tidak ada di rumah kerana berdakwah di luar negara. Suspek telah mengikat mangsa di sebuah kerusi dan dicabul beberapa kali berdasarkan kesan cedera yang terdapat pada kemaluan mangsa.

“Suspek juga didapati pernah melarikan mangsa yang sama dari rumahnya pada bulan Ramadan lepas dan membawa mangsa ke bangunan bersebelahan rumah mangsa serta turut melakukan cubaan untuk merogol mangsa namun gagal,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainudin berkata sehari sebelum kejadian melarikan kanak-kanak itu, suspek turut terlibat dalam cubaan melarikan seorang remaja perempuan sebuah sekolah agama di Telok Kemang berusia 17 tahun ketika mangsa sedang tidur dengan cara menekup mulut mangsa menggunakan cecair pencuci mozek.

“Cubaan itu gagal kerana mangsa tersedar dan menjerit,” katanya. Zainudin berkata suspek juga terlibat dengan kes curi barangan pelajar termasuk motosikal dalam IPT sama. — Bernama

Advertisement