Anda di sini

Peguam hak asasi terkemuka China didakwa

Advertisement

BEIJING: Seorang peguam hak asasi manusia terkemuka di China, yang menimbulkan kebimbangan antarabangsa selepas beliau hilang lewat tahun lepas, hadir di mahkamah semalam dan mengaku bersalah atas tuduhan menghasut subversi terhadap kuasa kerajaan.

Jiang Tianyong, 46, duduk di mahkamah di kota selatan Changsha ketika membuat pengakuannya dalam apa yang disebut oleh kumpulan hak asasi manusia Amnesty International sebagai perbicaraan olok-olok.

Jiang telah mengambil banyak kes berprofil tinggi, termasuk kes pengamal Falun Gong, penunjuk perasaan Tibet dan mangsa skandal tepung susu tercemar pada 2008 sebelum dibatalkan lesen guamannya pada 2009.

Keluarganya tidak dapat berhubung dengan Jiang yang tiba-tiba hilang pada 21 November lalu dalam perjalanan dari Beijing ke Changsha, untuk bertemu peguam hak asasi manusia yang ditahan, Xie Yang.

Xie ditahan dalam “operasi 709” pad Julai 2015, dan dakwaannya bahawa beliau diseksa dalam tahanan, yang ingin didedahkan oleh Jiang, telah mengundang kebimbangan antarabangsa.

Pihak berkuasa dalam operasi itu menahan lebih 200 orang, termasuk peguam yang mengambil kes hak sivil yang dianggap sensitif oleh Parti Komunis.

Xie didapati bersalah melakukan subversi terhadap kuasa kerajaan dan dilepaskan dengan ikat jamin Mei lalu selepas apa yang digambarkan oleh pengkritik sebagai perbicaraan kepura-puraan.

Jiang memberitahu mahkamah selama bahawa beliau “sengaja mereka-reka maklumat tentang penyeksaan Xie Yang ketika beliau dalam tahanan polis dan menggunakan cita rasa media barat, dengan tujuan untuk mencemari imej kerajaan”.

“Saya tahu apa yang saya buat adalah salah, ia adalah jenayah serius,” kata Jiang.

Klip video perbicaraan itu disiarkan dalam mikroblog rasmi Mahkamah Perantaraan Rakyat Changsha.

Penyelidik China dalam Amnesty International, William Nee, berkata layanan terhadap Jiang “adalah contoh bagi kebanyakan aspek yang membimbangkan dalam operasi ke atas peguam”.

Nee berkata ini termasuk “gangguan ke atas anggota keluarga, tidak memberi tertuduh akses kepada peguam mereka, pendakwaan berdasarkan tuduhan yang tidak mematuhi standard antarabangsa, menghalang orang ramai daripada hadir, sepanjang masa menonjolkan perbicaraan itu sebagai tulen dalam media sosial”.

Pihak berkuasa tidak memaklumkan anggota keluarga mengenai tarikh perbicaraan itu, kata isteri Jiang, Jin Bianling, yang kini tinggal di Amerika Syarikat (AS), di mana beliau lari pada 2013 untuk mengelak gangguan pihak berkuasa.

Penangkapan Jiang sebahagian daripada usaha untuk mengetatkan kawalan ke atas masyarakat madani sejak 2012, ketika Presiden Xi Jinping memegang kuasa.

Sementara kerajaan pada mulanya menyasari aktivis politik dan aktivis hak asasi manusia, ia semakin kerap mengalih perhatian kepada peguam yang mewakili mereka, untuk menutup saluran bagi aktivisme guaman yang semakin terbuka sejak beberapa tahun lalu.

Pada tahun-tahun sebelum penangkapannya, Jiang berulang kali berjumpa dengan ahli politik dan pegawai asing, termasuk pelawat berpangkat tinggi dari AS, untuk membincangkan situasi hak asasi di China.

Pegawai Perhubungan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston, menyatakan beliau bimbang kehilangan itu adalah tindak balas bagi bantuan peguam itu kepada pakar PBB.

Dalam keterangan bertulis kepada Kongres AS pada Mei lalu, Jin berkata masalah suaminya bermula selepas beliau berucap kepada dewan perundangan tersebut dalam satu lawatan ke Amerika pada Oktober 2009.

Jiang dikenakan tahanan rumah pada bulan berikutnya, sewaktu lawatan oleh presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke China, katanya.

Tahun-tahun berikutnya, beliau kerap ditahan dan dipukul polis, tambahnya.

“Gangguan dan ugutan menyelubungi saya.

“Saya malah berfikir untuk membunuh diri,” tulisnya, dan menambah bahawa polis turut mengekori ibu bapa Jiang. — AFP

Advertisement