Anda di sini

Gerhana matahari penuh di Amerika

Advertisement
 Kombinasi imej komposit gerhana matahari penuh dilihat dari Lowell Observatory Solar Eclipse Experience di Madras, Oregon kelmarin. — Gambar AFP
MEMUKAU: Kombinasi imej komposit gerhana matahari penuh dilihat dari Lowell Observatory Solar Eclipse Experience di Madras, Oregon kelmarin. — Gambar AFP

CHARLESTON: Pemerhati langit terpaku di seluruh Amerika Utara kelmarin apabila Matahari hilang di sebalik Bulan dalam gerhana penuh yang jarang sekali berlaku dan menyelubungi benua itu dari pantai ke pantai buat pertama kali dalam tempoh hampir seabad.

Jutaan pengejar gerhana tegar dan pemerhati bintang amatur berhimpun di kota-kota di sepanjang laluan ‘totality’, satu kawasan seluas 113 kilometer yang merangkumi 14 negeri di Amerika Syarikat (AS), di mana Bulan seketika menutup seluruh Matahari.

Festival, parti atas bumbung, perkahwinan, lawatan perkhemahan dan pertemuan astronomi diadakan di seluruh negara bagi gerhana yang mungkin paling kerap digambar dan didokumenkan pada zaman moden, hasil era media sosial.

Bahagian bayang-bayang paling gelap, dikenali sebagai ‘totality’ kerana Bulan seperti menutup seluruh Matahari dari Bumi, bermula di ruang udara Pantai Lincoln, Oregon, pada 1716 GMT.

Orang ramai menjerit kegirangan dan bersorak pada tanda pertama kegelapan.

Jauh sedikit ke pedalaman, lebih 100,000 berhimpun di Madras, Oregon, bandar dengan 7,000 penduduk, dalam suasana yang digambar-kan keadaan sempurna untuk melihat gerhana.

“Saya mahu melihat salah satu gerhana ini sepanjang hidup saya, sejak saya belajar astronomi, sejak saya budak lagi,” kata Christine Sapio, seorang profesor sains. “Saya sangka saya sudah bersedia untuknya, saya sama sekali belum bersedia.”

“Saya menggeletar, saya menangis. Saya terperanjat sama sekali dengan kecantikannya.”

Di Los Angeles, “ooh dan aah” kedengaran di kalangan ribuan orang yang berkumpul di Observatori Griffith di bukit di atas bandar raya tersebut apabila sebahagian gerhana mula berlaku.

Ramai berjalan kaki untuk mengelak kesesakan lalu lintas besar-besaran. Ada pemerhati membuat projektor lubang kecil sendiri dari kadbod dan pita. Orang lain melihat dengan kaca mata gerhana solar hitam yang istimewa.

Di tengah bandar Charleston, Carolina Selatan, titik terakhir pada laluan ‘totality’, pelancong, ada yang memakai kemeja T gerhana istimewa dan seluar panjang yang dicetak dengan motif bintang, mencari tempat terbaik di tebingan sungai terkenal di bandar raya yang sibuk itu.

Ramalan mengenai ribut petir mengancam untuk menutup pandangan, tetapi gerhana itu muncul juga di sebalik awan yang jarang.

Pemerhati di Waterfront Park menjerit dan bersorak apabila langit menjadi gelap pada pertengahan petang, lampu jalan menyala, dan gun-tur kedengaran di kejauhan.

Cuaca mendung dan ribut petir memusnahkan harapan pemerhati untuk melihat gerhana itu di beberapa tempat, termasuk Missouri.

Beberapa pemandangan paling jelas adalah di sepanjang Pantai Barat.

Di ibu negara AS, di mana 81 peratus ‘totality’ berlaku, Donald Trump melihat sebahagian gerhana dari Rumah Putih bersama isterinya Melania dan anaknya Barron, di mana pada satu ketika, Trump memandang ke langit tanpa perlindungan mata.

“Jangan pandang,” jerit seorang pembantu kepadanya. Beliau kemudian memakai kacamata.

Pemerhati gerhana turut membanjiri Muzium Udara dan Angkasa Negara di Washington, di mana teleskop solar disediakan untuk peristiwa itu.

Di Mexico, di mana sebahagian gerhana berlaku, penggemar astronomi menyediakan teleskop yang dipasang dengan penapis matahari istimewa di taman dan dataran di beberapa bandar raya.

Pemerhati gerhana sering menceritakan bagaimana mereka menjadi emosional apabila langit menjadi gelap, burung kembali ke sarang mereka dan udara menjadi sejuk.

“Ia adalah satu peristiwa menakjubkan yang menyelubungi deria,” kata pengejar gerhana, Fred Espenak, seorang pakar astrofizik NASA yang sudah bersara, kepada AFP mengenai gerhana solar penuh pertama yang beliau lihat di AS pada 1970. — AFP

Advertisement