Anda di sini

Gadis mangsa rogol ahli keluarga ditempatkan di rumah perlindungan

Advertisement

KUCHING: Dua gadis mangsa rogol ahli keluarga sendiri di Serian baru-baru ini ditempatkan di rumah perlindungan selepas mendapat perintah mahkamah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah berkata, bagaimanapun mangsa yang berusia 19 tahun tidak dapat ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak tetapi rumah perlindungan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kristian.

Sementara menurut beliau, seorang lagi mangsa berusia 14 tahun juga merupakan adik kepada mangsa akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak.

“Bagi mangsa yang mengandung iaitu yang berusia 19 tahun kita tidak dapat menempatkannya di Rumah Kanak-Kanak kerana umurnya sudah melepasi 18 tahun.

“Selepas mengadakan perbincangan dibuat oleh doktor dan pegawai pekerja sosial hospital, mangsa akan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan milik NGO di Serian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Fatimah sementara adik mangsa yang berusia 14 tahun pula ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak selepas mendapat perintah mahkamah.

“Ini adalah perbincangan yang kita buat dan kita mahu memberi perlindungan kepada kedua-dua mangsa tersebut.

“Kita sebelum ini telah mengadakan perbincangan bersama doktor yang bertanggungjawab serta pegawai pekerja sosial Hospital Serian,” katanya.

Kejadian yang menimpa dua beradik itu terbongkar apabila mangsa yang berusia 19 tahun menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Serian dan didapati mengandung.

Soal siasat kemudian mendapati mangsa menjadi mangsa rogol bapa, datuk dan dua bapa saudaranya sejak berusia 13 tahun.

Mangsa turut memaklumkan bahawa adiknya yang kini berusia 14 tahun, turut dirogol sejak lima tahun lalu di rumah keluarga ini di Kampung Daha Seroban, berhampiran Tebedu.

Susualan daripada itu sepasukan polis telah memberkas kesemua suspek yang berumur di antara 26 hingga 57 tahun di kediaman mereka.

Kedua-dua mangsa yang berusia 19 dan 14 tahun kini dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut, manakala si kakak disahkan mengandung 25 minggu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara 10 hingga 30 tahun selain sebatan rotan.

Advertisement