Anda di sini

13 kotak kayu tongkat ali lesap, peniaga kerugian RM22,000

Advertisement

MIRI: Seorang peniaga kerugian lebih RM22,000 setelah 13 kotak kayu tongkat ali miliknya hilang dalam kejadian di sebuah rumah, Jalan Padang Kerbau di sini.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat mangsa, 52, di Balai Polis Pusat Miri pada 18 Ogos lalu.

Dalam aduannya, mangsa mendakwa sekitar jam 3.30 pagi hari sama (18 Ogos) semasa hendak keluar rumah, beliau dapati 13 kotak mengandungi kayu tongkat ali dipotong pendek dan diletakkan di tepi dinding tempat parkir kenderaan hilang dipercayai dicuri.

Mangsa membuat pemeriksaan di sekeliling luar rumahnya turut ternampak beberapa kesan bekas tapak kasut dipercayai milik pencuri menceroboh masuk ke dalam pagar rumahnya.

Kerugian dianggarkan bernilai RM22,100.

Bertindak atas maklumat, sekitar jam 10.30 pagi, 21 Ogos lalu di pekarangan Balai Polis Pusat Miri berjaya menahan lima lelaki warga asing berusia antara 31 hingga 41 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes itu.

Semua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam diperintahkan supaya direman tiga hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Tempoh reman ke atas suspek-suspek terbabit tamat pada 25 Ogos ini.

Advertisement