Anda di sini

Taktik penyamaran lapuk

Advertisement

Taktik kibar bendera Sarawak, Jalur Gemilang pada bot nelayan asing sekali lagi terbongkar.

 Shahref menunjukkan awak-awak serta tekong Vietnam yang berjaya ditangkap.
DITAHAN: Shahref menunjukkan awak-awak serta tekong Vietnam yang berjaya ditangkap.
 Antara taktik nelayan asing Vietnam ialah mengibarkan bendera Malaysia dan Sarawak pada bot mereka.
TAKTIK LAPUK: Antara taktik nelayan asing Vietnam ialah mengibarkan bendera Malaysia dan Sarawak pada bot mereka.

KUCHING: Kelicikan sekumpulan lelaki dipercayai nelayan asing dari Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini dengan menggunakan taktik mengibar bendera Sarawak dan Jalur Gemilang pada bot mereka sekali lagi terbongkar.

Pengarah Daerah Maritim Kuching Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, pencerobohan itu berjaya dihidu oleh penguat kuasanya hasil maklumat orang awam terutama Pasukan Komuniti Maritim.

Malah, hasil soal siasat juga mendapati nelayan asing terdiri daripada lapan awak-awak termasuk tekong itu telah berada di perairan Sarawak sejak dua minggu lalu.

"Bot tersebut telah dikesan dan ditahan pada 19 Ogos (Sabtu) lepas kira-kira jam 10 pagi oleh kapal APMM Daerah Maritim Kuching (DM11) yang sedang dalam operasi khas di kedudukan kira-kira 100 batu nautika dari Tanjung Po sebelum dibawa ke jeti ini (Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas).

"Modus operandi mereka (nelayan asing Vietnam) ini sememangnya sudah biasa, mereka akan kibar Jalur Gemilang dan bendera Sarawak, malah mereka juga menggunakan nombor pendaftaran Malaysia selain mengecat warna bot sama dengan bot kita.

"Ini semua taktik biasa yang kita sudah ketahui, semuanya untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa, khasnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada sidang media berhubung penahanan lapan awak-awak termasuk tekong dari Vietnam di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin Muara Tebas, di sini semalam.

Mengulas lanjut, jelas Shahref, pencerobohan melibatkan nelayan Vietnam merupakan tangkapan tertinggi setakat ini.

"Bagi statistik Sarawak, dengan tangkapan ini, sejumlah 29 bot nelayan asing Vietnam berjaya ditahan sehingga ke hari ini melibatkan 346 awak-awak termasuk tekong dan menunjukkan rekod yang paling tinggi dari tahun 2006 hingga sekarang.

"Berbanding tahun lalu (2016) dari Januari hingga Disember, hanya 12 bot Vietnam ditangkap melibatkan 117 awak-awak termasuk tekong, maka jelas menunjukkan tangkapan tahun ini adalah dua kali ganda berbanding tahun lalu," jelasnya.

Bercakap mengenai tangkapan baharu itu, Shahref berkata, ketika tangkapan dibuat kesemua awak-awak dan tekong berusia dalam lingkungan 16 hingga 45 tahun itu berada di atas bot tersebut sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan rawai.

Dianggarkan terdapat kira-kira 3,000kg bersamaan tiga tan pelbagai jenis ikan terdapat di dalam bot berkenaan.

"Kita juga percaya berlakunya aktiviti pemindahan ikan-ikan ini antara bot nelayan asing Vietnam dengan kapal induk yang menunggu di perairan sempadan," jelasnya.

Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan sekiranya didapati bersalah, kapal serta peralatan menangkap ikan akan disita dan tekong serta awak-awak dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 setiap seorang atau penjara.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Operasi Maritim Daerah Kuching Mohd Ariz Md Kassim.

 Shahref menunjukkan lokasi bot nelayan asing Vietnam yang berjaya dikesan, Sabtu lalu pada sidang media, di Kuching, semalam. Turut kelihatan Mohd Ariz (kanan).
DI SINI: Shahref menunjukkan lokasi bot nelayan asing Vietnam yang berjaya dikesan, Sabtu lalu pada sidang media, di Kuching, semalam. Turut kelihatan Mohd Ariz (kanan).
  • oleh
  • Advertisement