Anda di sini

Tingkat kesedaran cegah infeksi

Advertisement
 Nasrun (tengah) bersama Christina (tiga kanan) dan Ahmad Lai (tiga kiri) bersama pegawai kanan JKNS yang lain semasa majlis penyampaian 1 juta sarung tangan perubatan kepada JKNS.
PROMOSI: Nasrun (tengah) bersama Christina (tiga kanan) dan Ahmad Lai (tiga kiri) bersama pegawai kanan JKNS yang lain semasa majlis penyampaian 1 juta sarung tangan perubatan kepada JKNS.

KOTA KINABALU: Menyedari kesedaran terhadap penggunaan sarung tangan dalam kalangan masyarakat di negeri ini masih rendah maka, usaha mempromosikan penggunaan sarung tangan melalui ‘Program Kesedaran Global’ akan terus dipergiatkan.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata penggunaan sarung tangan dalam kalangan rakyat Malaysia hanya sembilan pasang seorang dalam tempoh setahun.

“Jumlah itu amat sedikit jika dibandingkan dengan penggunaan oleh rakyat di Amerika Syarikat yang mencecah 80 pasang setahun dan di Eropah pula, mereka menggunakan 50 pasang setahun,” katanya ketika berucap semasa Majlis Penyampaian Sumbangan 1 juta sarung tangan perubatan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), di sini pada Khamis.

Menurutnya, penggunaan sarung tangan bukan hanya penting untuk pengamal perubatan sebaliknya, ia juga perlu digunakan dalam pelbagai bidang pekerjaan yang memerlukan seseorang itu menjaga kebersihan dan mengelak jangkitan kuman.

Dalam masa yang sama, kempen kesedaran tentang penggunaan sarung tangan itu juga akan dilakukan di China dan India yang turut mencatatkan penggunaan yang rendah. Usaha promosi itu akan dilakukan oleh Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

Melalui promosi sebegitu, ia dilihat akan membolehkan Malaysia mengembangkan lagi pasaran sarung tangan getah di China dan India.

Menyentuh tentang peranan Malaysia sebagai negara pengeksport sarung tangan terbesar dunia, Nasrun berkata tahun lalu sahaja eksport sarung tangan yang dicatatkan berjumlah RM13.3 bilion. Ia menyumbang 53.4 peratus daripada jumlah eksport sarung tangan di dunia.

“Untuk lima bulan pertama tahun ini eksport sarung tangan negara menunjukkan peningkatan 28.3 peratus dengan jumlah eksport RM6.8 bilion. Jika dibandingkan dengan nilai eksport tahun lalu berjumlah RM5.28 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2016.

“Menjelang akhir tahun, kita menyasarkan jumlah eksport sarung tangan ini akan mencecah RM16 bilion,” jelasnya.

Berkenaan sumbangan dimainkan oleh Sabah dalam eksport sarung tangan ini, Nasrun berkata sumbangan Sabah adalah dari segi bahan mentah yang digunakan.

Sementara itu, Pengarah JKNS Datuk Dr Christina Rundi berkata kadar penggunaan sarung tangan yang masih rendah itu dilihat berpunca daripada kurangnya kesedaran tentang kawalan jangkitan atau infeksi.

“Orang ramai beranggapan sarung tangan ini hanya perlu digunakan di hospital sahaja. Walhal, penggunaan sarung tangan ini amat penting dalam kehidupan seharian bagi mengawal infeksi. Contohnya orang yang berkebun, mereka perlu memakai sarung tangan supaya tidak mudah dijangkiti kuman.

“Apa yang penting sebenarnya adalah kesedaran tentang kawalan infeksi sebab jangkitan itu berada di mana-mana sahaja,” jelasnya.

Mengenai penggunaan sarung tangan dalam kalangan pengamal perubatan pula, jumlah sarung tangan digunakan bergantung kepada prosedur tertentu.

Bagi Pengerusi MREPC Ahmad Lai Bujang, pemberian sumbangan sarung tangan 1 juta kepada JKNS itu adalah untuk memenuhi keperluan klinik dan hospital.

“Inisiatif sebegini selaras dengan usaha MREPC untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

“Pemberian sumbangan kepada JKNS ini adalah bagi menggalakkan kakitangan JKNS supaya menggunakan peralatan perlindungan ketika bekerja untuk mengurangkan infeksi.

“Usaha ini juga dilihat akan meningkatkan penggunaan per kapita sarung tangan di Malaysia. Menjelang 2020, kita berharap dapat menyaingi negara maju seperti Amerika Syarikat dalam penggunaan sarung tangan per kapita,” jelasnya.

Advertisement