Anda di sini

Penduduk bimbang Jalan Ranau Bypass akan putus bila-bila masa

Advertisement
 Jalan Ranau Bypass di Batu 3 dijangka akan putus akibat banjir kilat pada bila-bila masa sahaja.
MEMBIMBANGKAN: Jalan Ranau Bypass di Batu 3 dijangka akan putus akibat banjir kilat pada bila-bila masa sahaja.

KOTA BELUD: Kira-kira 3,800 penduduk di Kampung Pirasan dan Kampung Rangalau meluahkan kebimbangan mereka mengenai keselamatan pengguna Jalan Ranau Bypass di Batu 3 yang akan putus pada bila-bila masa sahaja sekiranya tiada tindakan segera pihak berkuasa.

Ketua Kampung Pirasan Duyok Tahir @Yuk Fa yang mewakili 3,000 penduduk Kampung  Pirasan melahirkan kebimbangan mengenai keadaan jalan raya di Batu 3, antara Kampung Pirasan dan Kampung Rangalau, yang akan runtuh sekiranya berlaku banjir kilat pada bila-bila masa sahaja.

Beliau yang juga bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya mohon jangan hanya meletakkan tanda ‘Tanah Runtuh’ atau ‘Berbahaya’, tetapi biarlah ada tindakan memperbaiki segera sebelum jalan raya itu akan memutuskan hubungan pengguna yang tinggal di Mukim Kadamaian.

“Saya juga ingin mencadangkan agar pihak berkenaan atau kerajaan tempatan meluluskan peruntukan kilat untuk memperbaiki jalan raya ini, sebelum terjadi perkara yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Rangalu Mijulan Malujin berkata demi kebaikan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya khususnya masyarakat Kota Belud, perlu ada tindakan segera daripada pihak berkenaan.

Katanya, Jalan Ranau Bypass itu adalah jalan utama bagi 800 penduduk di Kampung Rangalau untuk melakukan tugas rutin di pelbagai pejabat bagi pekerja perkhidmatan awam dan swasta serta laluan memasarkan hasil tani bagi mereka yang berniaga dan para pelajar di SMK Arshad setiap hari.

Sekiranya tiada tindakan segera daripada pihak berkenaan untuk memperbaiki jalan raya itu, besar kemungkinan keadaan akan lebih teruk lagi berbanding sekarang di mana masih boleh lagi dilalui oleh kenderaan berat dan kecil.

“Saya berpendapat untuk mengatasi banjir kilat yang merosakkan tebing Sungai Tempasuk, setiap yang menjadi sasaran arus air sungai itu haruslah ditambatkan dengan kapasiti simen yang kuat di samping pedalaman sungai juga harus dilakukan,” katanya.

Advertisement