Anda di sini

Pencarian belum berhasil

Advertisement
 Anggota penyelamat semasa memulakan operasi SAR tersebut di Kampung Serpan Laut, Asajaya semalam.
CARI: Anggota penyelamat semasa memulakan operasi SAR tersebut di Kampung Serpan Laut, Asajaya semalam.

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) orang hilang di Debak dan Asajaya masih belum berhasil setakat petang semalam.

Di Debak, seorang lelaki berusia 50 tahun dilaporkan hilang oleh keluarganya di kawasan Ladang Sawit, Munggu Prin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa tidak pulang ke rumah sejak Rabu lepas menyebabkan keluarganya terpaksa membuat laporan polis pagi semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan serta-merta yang turut disertai anggota polis dan keluarga mangsa dari jam 10.30 pagi.

“Anggota penyelamat bersama keluarga mangsa telah memulakan pencarian di sepanjang Jalan Pekan Debak sehingga simpang Debak dan radius percarian diperluaskan sehingga ke jalan utama iaitu jalan simpang Debak sehingga jalan Betong dan seterusnya ke jalan Pusa.

“Menurut keluarganya, mangsa telah keluar dari rumah sejak Rabu lepas sekitar jam 1.30 petang, namun tidak pulang sehingga hari ini (semalam),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mangsa dipercayai menghidap masalah mental dan pernah dirujuk ke Hospital Sentosa sebelum ini.

Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong menyertai operasi SAR tersebut semalam.

 Anggota penyelamat mendapatkan maklumat daripada orang awam sepanjang pencarian mangsa di Debak, semalam.
SAR: Anggota penyelamat mendapatkan maklumat daripada orang awam sepanjang pencarian mangsa di Debak, semalam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Asajaya, lelaki warga emas, Lembong Pin, 75, yang dilaporkan hilang di laut sekitar perairan berhampiran Kampung Serpan, Asajaya masih belum dijumpai sehingga semalam.

Operasi SAR yang disambung semula sekitar jam 7 pagi semalam diperluaskan kawasan pencariannya, namun terpaksa ditangguh sekitar jam 5.30 petang semalam disebabkan keadaan cuaca semakin gelap dan air mulai surut.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Serpan keluar mencari ketam pada Selasa lepas iaitu sekitar jam 1 pagi dengan menggunakan sampan ke laut seorang diri,” kata jurucakap bomba.

Turut menyertai operasi SAR tersebut ialah anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), RELA dan penduduk kampung.

Kedua-dua operasi SAR tersebut dijadualkan disambung semula pada jam 7 pagi, hari ini.

  • oleh
  • Advertisement