Anda di sini

Kumpulan Syarikat Hock Peng buka hotel ke-10

Advertisement
 Toh, Francis (tengah) dan ahli keluarga lain menghadiri majlis pembukaan tidak rasmi Hotel Li Hua baharu di Bintulu Sentral semalam.
BELUM RASMI: Toh, Francis (tengah) dan ahli keluarga lain menghadiri majlis pembukaan tidak rasmi Hotel Li Hua baharu di Bintulu Sentral semalam.

BINTULU: Kumpulan Syarikat Hock Peng telah membuka hotel baharu ke-10 di negeri ini iaitu Hotel Li Hua dan yang kedua di bandar Bintulu secara tidak rasminya semalam di Bintulu Sentral Commercial Centre.

Upacara pembukaan tidak rasmi hotel itu dihadiri oleh Pengarah Urusan Hock Peng Organisation, Datuk Toh Chew Hock dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Hock Peng, Pemanca Datuk Dr Francis Toh Chiew Peng, ahli keluarga dan rakan-rakan niaga syarikat terbabit.

Hotel yang dibangunkan di bawah satu bangunan dikenali sebagai Wisma Li Hua itu menghubungkan pembangunan bersepadu dengan Kompleks Beli-belah dan Terminal Bas Bintulu Sentral di kawasan pembangunan Bintulu Sentral Commercial Centre di Jalan Kidurong.

Hotel terbabit merupakan antara satu daripada kumpulan Hotel Li Hua dan Hotel Medan yang dibangunkan oleh syarikat Hock Peng Organisation dan kumpulan hotel terbabit merupakan ahli kepada syarikat itu sejak ditubuhkan pada tahun 1962.

Selain pembangunan hotel, syarikat terbabit turut menumpukan kepada pembangunan hartanah, pembinaan, peruncitan dan pegangan pelaburan. Kumpulan hotel itu ditubuhkan pada tahun 1981 dan gabungan jumlah keseluruhan bilik hotel yang telah dibina adalah lebih daripada 1,200 bilik di seluruh Sarawak merangkumi bahagian Sibu, Bintulu, Mukah dan Betong.

Ia menyediakan perniagaan yang mencukupi dan peluang pekerjaaan kepada penduduk setempat dalam industri hospitaliti dan menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan.

Francis Toh berkata, Hotel Li Hua lima tingkat yang kedua dibina di bandar Bintulu itu menyediakan kemudahan 165 bilik penginapan yang dilengkapi dengan kemudahan yang moden dan berkualiti turut menghubungkan kompleks beli-belah dan bas terminal di bawah satu bumbung.

“Kemudahan yang terdapat dalam hotel adalah lif, Sistem Kad Akses Keselamatan, Sistem Perlindungan Kebakaran yang diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiga bilik mesyuarat atau bilik persidangan yang mampu menampung 50 hingga 300 orang dalam satu masa, Coffee House dan bilik gim, televisyen LCD 32 inci,  dilengkapi kemudahan pendingin hawa, kamera litar tertutup (CCTV) kawalan 24 jam, WiFi dan Astro,” katanya.

Beliau berkata, Hotel Li Hua Bintulu di Terminal Bas Bintulu Sentral adalah lokasi di tengah-tengah pembangunan yang strategik sepanjang Jalan Kidurong membentuk sebahagian daripada pembangunan pelan induk Bintulu Sentral.

“Hotel Li Hua baharu dibangun pula antara pembangunan hotel yang menyediakan kemudahan perniagaan dan peluang pekerjaan tambahan kepada mereka yang terlibat dalam industri hospitaliti di Bintulu termasuk penginapan yang selesa dengan harga berpatutan,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Francis Toh berkata, pembangunan Wisma Li Hua yang menghubungkan secara terus dengan Terminal Bas Bintulu dan berkongsi bangunan dengan kompleks beli-belah, peruncitan dan premis makanan dan minuman, kedai popular Mr DIY dan Devil Evilly Good Cafe akan menjadi tumpuan orang ramai terutamanya bagi mereka yang menggunakan kemudahan pengangkutan bas dan yang menginap di hotel terbabit.

Tambahnya, promosi pembukaan paling menarik di Hotel Li Hua baharu ini untuk bilik tetamu adalah bermula daripada RM78 untuk Deluxe Single hingga kepada RM288 untuk Executive Suite.

Justeru, mereka yang berkeinginan untuk merasai pengalaman dan layanan istimewa penginapan di Bintulu daripada kumpulan Hotel Li Hua hubungi perkhidmatan pelanggan hotel di talian 086-257888 atau e-mel [email protected] untuk tempahan.

  • oleh
  • Advertisement