Anda di sini

SSC anjur jerayawara berbasikal di beberapa bandar utama Sarawak

Advertisement
 Leon (dua kanan) bergambar bersama (dari kiri) Penolong Jurulatih Laurel Lauridsen Adrian, Aidwin Aidan Wing, Koordinator Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Linda Ling dan Mrtle Patricia Wilken (kanan) yang akan terlibat dalam sesi TID.
JOM SERTAI KAMI: Leon (dua kanan) bergambar bersama (dari kiri) Penolong Jurulatih Laurel Lauridsen Adrian, Aidwin Aidan Wing, Koordinator Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Linda Ling dan Mrtle Patricia Wilken (kanan) yang akan terlibat dalam sesi TID.

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan menganjurkan siri jerayawara berbasikal meliputi beberapa bandar utama seperti Kuching, Sibu, Miri, Serian dan Sri Aman.

 Lokasi pertama jerayawara berkenaan adalah Sibu yang akan diadakan pada 19 Ogos ini bertempat di Dataran Bandar Sibu.

 Objektif utama jerayawara berkenaan adalah untuk mencungkil bakat baharu selain sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Sarawak (SukSar) yang akan diadakan pada pertengahan Disember 2017.

 Dengan misi membentuk skuad berbasikal terkuat untuk menghadapi kempen SUKMA 2018 di Perak dan kejohanan peringkat antarabangsa, SSC akan memanfaatkan sepenuhnya jerayawara tersebut untuk mengumpul bakat-bakat muda selain menarik minat golongan belia terhadap sukan berbasikal.

 Jerayawara bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang itu padat dengan pelbagai aktiviti seperti pengenalan sukan berbasikal dan sesi praktikal dan demonstrasi untuk pengecaman bakat (TID).

 Ia dikendalikan oleh ketua jurulatih berpengalaman kelahiran Afrika Selatan, Leon Scheper sambil dibantu tiga penolong jurulatih dan beberapa jurulatih di Sibu untuk mencari pelumba berpotensi yang akan diserap dalam skuad bayangan SUKMA Sarawak.

 Pejabat Residen Sibu turut terlibat sama menganjurkan program berkenaan yang dijangka mendapat sambutan hangat dari warga Sibu.

 “Kita akan memantau atlet berpotensi dan membentuk mereka menjadi juara melalui program latihan.

 “Saya yakin dapat mencari ramai bakat dari pelbagai disiplin seperti BMX, basikal bukit termasuk pelumba trek,” ujar Leon yang pernah berkhidmat di negara seperti Kanada, Australia dan China.

 Selepas di Sibu, jerayawara berkenaan akan bergerak di Miri pada 26 Ogos disusuli di Sri Aman, Serian dan Kuching.

Advertisement