Anda di sini

Skuad memanah beri emas kedua, ketiga negara

Advertisement

Malaysia raih dua emas acara memanah compound berpasukan wanita, lelaki pada temasya Sukan SEA

 Pasukan memanah negara bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) selepas memenangi pingat emas dalam acara compound berpasukan lelaki selepas kalahkan Singapura, 228-222 pada Sukan SEA Kuala Lumpur di Padang Sintetik Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
PERTAHAN EMAS: Pasukan memanah negara bergambar bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) selepas memenangi pingat emas dalam acara compound berpasukan lelaki selepas kalahkan Singapura, 228-222 pada Sukan SEA Kuala Lumpur di Padang Sintetik Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia memenangi pingat emas kedua dan ketiga semalam menerusi acara memanah compound berpasukan wanita dan lelaki temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

 Kedua-dua pasukan itu sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi di Singapura pada 2015.

 Pasukan wanita Malaysia merangkul emas semalam selepas menewaskan Vietnam, 253-252 dalam perlawanan mendebarkan di Padang Sintetik, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini.

 Pasukan memanah compound lelaki Malaysia kemudian menambah pingat emas selepas menewaskan Singapura 228-222.

 Malaysia memungut emas sulung Sukan SEA ke-29 melalui skuad chinlone lelaki dalam acara event 3 (linking), pada Rabu.

 Pasukan wanita negara pada pertandingan akhir itu terdiri daripada Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Cham Nong manakala Vietnam diwakili Chau Kieu Oanh, Le Ngoc Huyen dan Thi Nha Le Nguyen.

 Malaysia meraih kemenangan apabila Saritha membuat panahan dengan 10 mata penuh pada pusingan shoot off selepas terikat 225.

 “Ketika itu saya hanya fikir apa yang jurulatih beritahu serta sokongan daripada rakan sepasukan,” katanya kepada media selepas perlawanan tamat.

 Fatin Nurfatehah dan Nurul Syazhera pula bersyukur selepas segala usaha yang dilakukan ketika latihan membuahkan hasil di hari pertandingan.

 Pingat gangsa acara itu jatuh kepada Indonesia yang menundukkan Thailand 225-222.

 Malaysia yang mendapat bye di pusingan suku akhir, menewaskan Thailand dengan mata 227-219 untuk ke final bertemu Vietnam.

 Skuad compound lelaki negara diwakili Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip pula menundukkan Ang Han Teng, Lee Chung Hee dan Pang Toh Jin dari Singapura.

 Mohd Juwaidi berkata panahan semalam agak bagus namun ada sedikit perasaan gemuruh disebabkan keadaan ketika latihan dan hari pertandingan sedikit berbeza.

 “Biasanya kalau latihan dapat 10 mata adalah normal tapi ketika pertandingan biasanya lapan dan sembilan mata. Keadaan di lapangan pertandingan biasanya agak tegang sedikit,” kata Mohd Juwaidi kepada pemberita.

 Gangsa acara itu diraih pasukan Filipina yang menewaskan Vietnam 233-230.

 Pasukan compound negara berharap menambah pungutan pingat emas melalui acara compound berpasukan campuran yang akan disertai Mohd Juwaidi dan Fatin Nurfatehah hari ini.

 Di saingan suku akhir, Malaysia menewaskan Laos 234- 205 untuk mara ke separuh akhir bertemu Vietnam seterusnya menang 29-27 selepas terikat 227 sama, untuk ke final.

 Semalam, skuad memanah negara meraih satu pingat perak melalui acara compound individu lelaki melalui Mohd Juwaidi dan pingat gangsa compound individu wanita sumbangan Fatin Nurfatehah. — Bernama

 Pasukan memanah wanita negara (dari kiri) Fatin, Saritha dan Nurul Syazhera menunjukan pingat emas yang dimenangi di Padang Sintetik Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
PRESTASI CEMERLANG: Pasukan memanah wanita negara (dari kiri) Fatin, Saritha dan Nurul Syazhera menunjukan pingat emas yang dimenangi di Padang Sintetik Bukit Jalil, Bandar Sukan Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
Advertisement