Anda di sini

PUSAKA keluar Sijil Pematuhan STLVS

Advertisement

Tingkat keyakinan pembeli terhadap eksport produk kayu Sarawak di seluruh dunia

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) mengeluarkan Sijil Pematuhan Sistem Pengesahan Kesahihan Kayu Sarawak (STLVS) bagi kilang dan syarikat kayu yang menjalankan aktiviti import dan eksport di negeri ini.

 Sijil-sijil itu adalah Sijil Pematuhan Prinsip 5 (Operasi Kilang) dan Prinsip 6 (Dagangan dan Eksport) STLVS dan Sijil Pematuhan Eksport STLVS.

 Pengurus Besar PUSAKA Datu Sarudu Hoklai berkata, ia akan menambah kredibiliti dan meningkatkan lagi keyakinan pembeli terhadap eksport produk kayu Sarawak di seluruh dunia.

 “PUSAKA, di bawah Kementerian Pembangunan Bandar dan Alam Sekitar, bersama agensi pelaksana lain akan memantapkan lagi promosi STLVS di pasaran utama kayu balak Sarawak di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

 Sebelum sijil-sijil itu dikeluarkan dahulu, syarikat diperlukan untuk menjalankan audit pihak ketiga terhadap proses-prosesnya bagi memastikan pematuhan piawaian STLVS.

 Beberapa sesi taklimat kepada industri turut dijalankan oleh PUSAKA di Sibu pada 2 Ogos lalu, Bintulu (3 Ogos), Miri (4 Ogos) dan Kuching (15 Ogos).

 STLVS merupakan sistem kesahihan (legality) dilaksanakan dan menjadi amalan di Sarawak, yang meliputi proses pelesenan, penuaian, pengangkutan, pembuatan dan perdagangan balak dan produk kayu mengikut undang- undang, peraturan dan prosedur sedia ada yang mengawal hutan dan perdagangan kayu di Sarawak.

 Kesahihan ditakrifkan sebagai ‘balak yang dituai oleh orang berlesen dari kawasan diluluskan dan disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan, mengikut undang-undang, peraturan dan prosedur berkaitan dengan perhutanan dan perdagangan di Sarawak’.

 Sistem itu telah menjalani proses penambahbaikan dan peningkatan dalam memenuhi keperluan semasa.

 Pada 2015, STLVS terus dipertingkatkan untuk membenarkan pengauditan dan pengesahan bebas dijalankan oleh pihak ketiga yang bebas.

 Pada 2016, satu seminar mengenai STLVS dianjurkan di Tokyo dan Osaka, Jepun.

Advertisement