Anda di sini

Ops antidadah di Manila ragut 26 lagi nyawa

Advertisement

Malam pertumpahan darah kedua susulan 32 maut dalam serbuan polis pada Isnin lepas

 Pegawai polis memeriksa mayat seorang lelaki yang menurut mereka ditembak mati dalam pembunuhan berkaitan dadah di Manila, Filipina kelmarin. — Gambar Reuters
SIASAT: Pegawai polis memeriksa mayat seorang lelaki yang menurut mereka ditembak mati dalam pembunuhan berkaitan dadah di Manila, Filipina kelmarin. — Gambar Reuters

MANILA: Sekurang-kurangnya 26 maut semalaman dalam operasi polis di ibu negara Filipina, Manila, kata polis semalam, malam pertumpahan darah kedua pada minggu ini dalam peningkatan perang ganas Presiden Rodrigo Duterte terhadap dadah dan jenayah.

Pembunuhan di seluruh Manila menyusuli 32 kematian dalam serbuan polis yang hampir serentak pada malam Isnin lepas di wilayah Bulacan, yang bersempadan dengan ibu negara.

Bersama, ia menandakan tempoh paling berdarah dalam operasi yang fokus kepada dadah dan sudah mengorbankan ribuan orang Filipina, selain menimbulkan kebimbangan antarabangsa, sejak Duterte memegang kuasa lebih setahun lalu.

Jurucakap polis Manila, Kolonel Erwin Margarejo, menggambarkan serbuan yang bermula lewat kelmarin di Manila sebagai operasi “sekali yang besar sekali”, ungkapan sama yang diguna-kan oleh polis di Bulacan, yang menyatakan mangsa mati kerana mereka memilih untuk memberikan tentangan.

Ini adalah operasi ‘sekali yang besar sekali’, jadi ia tidak hanya fokus kepada dadah, kami juga beroperasi menentang jenayah jalanan lain, seperti rompakan, tetapi orang ini juga boleh jadi berada di bawah pengaruh dadah,” kata Margarejo.

Jika mereka menentang dengan ganas, polis kita perlu mempertahankan diri.”

Duterte memulakan ope-rasinya pada hari beliau memegang jawatan pada 30 Jun tahun lepas setelah kemenangan yang meyakinkan dalam pilihan raya di mana beliau berkempen dengan aktif atas janji untuk menggunakan kekerasan berdarah bagi membanteras jenayah dan dadah.

Ia tidak segera jelas apa yang mendorong peningkatan jumlah operasi selaras oleh polis pada minggu ini, tetapi Duterte memberi petanda yang jelas kelmarin bahawa ia mendapat restunya.

Beliau berkata ia adalah bagus 32 penjenayah telah dibunuh di Bulacan, kemudian menambah: “Mari membunuh 32 lagi setiap hari. Mungkin kita dapat mengurangkan apa yang me-nyakitkan negara ini.”

Duterte turut menegur kumpulan hak asasi manusia kerana cuba menghalang kempen antidadahnya dan berkata polis harus me-nembak mereka jika mereka menghalang keadilan, satu kenyataan yang menurut Human Rights Watch di New York meletakkan aktivis “dalam bahaya yang serius”.

Timbalan pengarahnya di Asia, Phelim Kine, menganggap kenyataan itu “umpama mengecat sasaran di belakang orang berani yang bekerja untuk melindungi hak dan menegakkan maruah semua orang Filipina”.

Jumlah sebenar orang yang terbunuh dalam perang ke atas dadah adalah sukar untuk ditentukan, tanpa sebarang statistik bebas yang sedia ada dan polis menyediakan data menyeluruh hanya bagi kematian sewaktu operasi antidadah, di mana laporan rasmi biasanya menyebut suspek melawan penangkapan.

Dari permulaan perang dadah hingga hujung Julai, polis berkata lebih 3,400 maut dalam operasi mereka.

Polis berkata kira-kira 2,100 kematian di antara kira-kira 13,500 pembunuhan dalam tempoh yang sama ada kaitan dengan dadah, perang kawasan, pemberi maklumat yang disenyapkan, atau pe-ngawal sukarela yang membunuh pengguna dadah.

Seramai 65 anggota polis terkorban ketika menjalankan tugas dalam tempoh ini.

Pengkritik mendakwa anggota Polis Negara Filipina (PNP) membunuh suspek dan berkata ada kemungkinan mereka terbabit dalam ribuan kes pembunuhan pengguna dadah oleh pengawal sukarela yang bermisteri dan belum dapat diselesaikan.

PNP dan kerajaan menolak dakwaan tersebut.

Walaupun keganasan itu dikritik oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa, rakyat Filipina umumnya menyokong kempen itu dan tentangan domestik terhadapnya adalah senyap. — Reuters

Advertisement