Anda di sini

Musnah segalanya

Advertisement

Lebih 100 penghuni kaum Kenyah dan Sebob terjejas rumah panjang Long Aton terbakar.

 Keadaan api yang marak membakar keseluruhan rumah panjang Long Aton yang didiami lebih 100 penduduk.
MARAK: Keadaan api yang marak membakar keseluruhan rumah panjang Long Aton yang didiami lebih 100 penduduk.
 Keadaan rumah panjang 28 pintu itu sebelum kebakaran.
TINGGAL KENANGAN: Keadaan rumah panjang 28 pintu itu sebelum kebakaran.

MARUDI: Ketiadaan alat pemadam api untuk memadam kebakaran di peringkat awal menjadi salah satu faktor menyukarkan penduduk mengawal api yang marak dan meranapkan seluruh rumah panjang mereka di Long Aton, malam kelmarin.

Ketua Kaum Michael Kebing Avit berkata, penduduk kampung bertungkus-lumus melakukan yang terbaik untuk memadam kebakaran, namun tidak terdaya kerana api merebak dengan amat pantas.

Rumah panjang kami yang diperbuat daripada kayu keseluruhannya hanya mengambil masa beberapa minit sahaja untuk terbakar semuanya dan ranap,” ujarnya kepada Utusan Borneo di sini, semalam. 

Michael berkata, cuaca kering juga menjadi faktor api merebak dengan pantas dalam kebakaran sekitar jam 9.50 malam itu.

Selain itu, kami tidak ada alat pemadam api untuk membantu membanteras kebakaran dari awal,” katanya.

Kebakaran rumah panjang 28 pintu berusia 38 tahun di Sungai Tinjar, Baram itu menyebabkan lebih 100 penghuninya yang terdiri daripada kaum Kenyah dan Sebob tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Masyarakatnya, Penghulu Joseph Belulok Dian berkata, ketika kejadian semua penduduk berada di bilik masing-masing, namun sebahagian bilik tidak berpenghuni kerana pemiliknya tinggal dan bekerja di Miri dan bandar-bandar lain.

Katanya, penduduk turut berusaha menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi dengan menggunakan kemudahan telefon di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Aton yang terletak bersebelahan.

Kesukaran komunikasi di kawasan pedalaman ini menyebabkan kami hanya dapat membuat panggilan ke balai bomba pada jam 11.50 malam untuk memaklumkan mengenai kebakaran yang berlaku,” jelasnya.

Namun demikian, katanya, penduduk menerima hakikat bukan mudah untuk pihak bomba tiba di kampung berkenaan yang terletak enam jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari (Balai Bomba dan Penyelamat) Marudi melalui jalan balak dan menaiki feri.

Rumah panjang tersebut terletak dalam konstituensi Telang Usan, Parlimen Baram.

 Api yang membakar rumah panjang tersebut turut meranapkan semua harta-benda milik penghuninya.
RANAP: Api yang membakar rumah panjang tersebut turut meranapkan semua harta-benda milik penghuninya.
  • oleh
  • Advertisement