Anda di sini

MPC sasar penjimatan RM1 bilion menerusi GRP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menganggarkan sektor awam akan dapat menjimatkan kos sekurangkurangnya RM1 bilion menerusi Amalan Pengawalseliaan Baik (GRP).

 Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Razali Hussain berkata langkah kerajaan dalam menggalakkan persekitaran perniagaan yang kompetitif, menyumbang dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi dan sosial dengan ketara.

 “Di peringkat perusahaan, kami menyasarkan menjana penjimatan kos sebanyak RM650 juta menerusi program yang dibangunkan untuk memanfaatkan keupayaan perusahaan secara optimum,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Pameran Inovasi untuk Peningkatan Produktiviti, di sini semalam.

 Dianjurkan oleh MPC, acara sehari itu bermatlamat mengetengahkan keberkesanan platform perkongsian strategik dalam meningkatkan produktiviti.

 Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan.

 Mohd Razali berkata tahun lepas, 198 peraturan perniagaan dikaji semula, yang menyumbang kepada penjimatan kos pematuhan sebanyak RM1.13 bilion.

 Di peringkat perusahaan, beliau berkata lebih daripada RM650 juta penjimatan kos dijana menerusi proses projek inovasi dan RM6.4 juta lagi menerusi projek lean (membuang apa yang tidak diperlukan) yang melibatkan 302 syarikat.

 Mohd Razali berkata beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk meningkatkan produktiviti di Malaysia sejak pertengahan tahun 90-an, yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti sejak beberapa tahun lepas.

 “Namun kemajuannya agak perlahan jika dibandingkan dengan standard antarabangsa,” katanya.

 Beliau berkata MPC terus menerajui usaha negara dalam meningkatkan daya saing dalam produktiviti menerusi perkongsian dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan persatuan industri.

 Di peringkat antarabangsa, beliau berkata MPC bekerjasama dengan Pertubuhan Produktiviti Asia dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun dalam meningkatkan produktiviti, dan pada masa yang sama menyediakan dan memudahkan industri dengan kemahiran dan pengetahuan mengenai teknik dan pengurusan untuk meningkatkan produktiviti.

 Beliau berkata gabungan MPC dengan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan, Bank Dunia, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, dan Forum Ekonomi Dunia, membuktikan usahanya dalam mengukur dan menganalisis prestasi produktiviti dan daya saing negara. — Bernama

Advertisement