Anda di sini

Maritim lancar SAR cari warga emas dikhuatiri hilang di laut

Advertisement

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam selepas menerima laporan seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang di laut sekitar perairan berhampiran Kampung Serpan, Asajaya.

Mangsa Limbong Tin, 75, dipercayai pergi ke laut seorang diri menggunakan bot miliknya pada kira-kira jam 1 petang, kelmarin (16 Ogos).

Bagaimanapun, mangsa yang ke laut untuk menangkap ketam tidak pulang ke rumah sejak itu.

Menurut APMM di sini semalam, ahli keluarga mangsa bersama penduduk kampung telah berusaha membuat pencarian namun gagal.

Sebaliknya, mereka hanya menemui bot berserta pakaian mangsa di pesisir pantai berhampiran.

Keluarga mangsa telah membuat laporan polis pada jam 8 pagi semalam dan laporan tersebut telah diterima pihak Maritim Malaysia pada jam 1 petang.

Bertindak atas laporan SAR telah diaktifkan serta-merta dan sebuah bot maritim digerakkan dari Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas ke kawasan terakhir mangsa dipercayai berada.

Kawasan pencarian kini bertumpu di pesisir pantai antara Tanjung Moyang hingga ke Tanjung Stok.

Sehingga berita ini ditulis, mangsa masih belum ditemui.

Advertisement