Anda di sini

29 Ogos sebutan lanjut kes pelajar dituduh edar ganja

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan lanjut kes seorang pelajar kolej yang menghadapi dua tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum diterima.

Ranovich Matthew, 19, dari Desa Pujut 2, Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarkan kes pertama, tertuduh telah disyaki mengedar dadah jenis ganja seberat 532 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 petang, 18 Mei lalu di tempat letak kereta di hadapan kedai makan Saloma Classic Bandar Baru Permyjaya di sini.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh yang masih menuntut di sebuah kolej di sini dituduh melakukan kesalahan serupa dengan mengedar dadah jenis ganja seberat 269 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukanya pada jam 10 malam, 18 Mei lalu di rumahnya di Desa Pujut 2 Bandar Baru Permyjaya di sini.

Advertisement