Anda di sini

2 maut kereta terjunam 13 meter dari parkiran

Advertisement

KUANTAN: Dua orang termasuk seorang pelancong wanita warga China maut selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka terjunam dari tingkat empat kawasan letak kenderaan di sebuah hotel di Genting Highlands, awal semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.15 pagi itu mangsa, L. Poolani Samy, 50, dari Sepang, Selangor dan penumpangnya, Muy San Mao, 43, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas terjatuh daripada ketinggian 13 meter.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan turun dari kawasan tempat letak kereta berkenaan.

Apabila sampai di tempat kejadian yang merupakan kawasan membelok ke kanan, pemandu dipercayai telah hilang kawalan lalu terlanggar besi penghadang sebelum terjunam kira-kira 13 meter ke bawah dalam keadaan keempat-empat tayar kereta ke atas,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini semalam.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Genting Highlands.

Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu menyebabkan kenderaan itu terbabas serta terjunam.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Mohd  Arshad Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.32 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.

Apabila sampai mayat mangsa telah dikeluarkan orang awam dan dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat,” katanya. — Bernama

Advertisement