Anda di sini

Dua kampus UNIKL dianugerah Swaakreditasi MQA

Advertisement
 Idris menyampaikan sijil perakuan Status Swaakreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada Mazlihan dan Azanam (dua kanan) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
SIJIL PERAKUAN: Idris menyampaikan sijil perakuan Status Swaakreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kepada Mazlihan dan Azanam (dua kanan) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Dua kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) semalam mendapat Perakuan Status Swaakreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang memberi autonomi kepada UniKL mengakreditasi sendiri program pengajian yang ditawarkan di kedua-dua kampus.

Dua kampus tersebut adalah kampus induk UniKL di Kuala Lumpur dan kampus Malaysia France Institute di Bangi, Selangor.

Sijil Perakuan tersebut disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh kepada Presiden UniKL Prof Datuk Dr Mazlihan Mohd Su’ud dan Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi UniKL Prof Datuk Dr Azanam Shah Hashim pada satu majlis di Kementerian Pengajian Tinggi di sini semalam.

Idris berkata perakuan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap kemantapan sistem kualiti dalaman yang dibangunkan pihak universiti dan telah disahkan melalui audit yang dilaksanakan oleh MQA.

Akreditasi ini akan membolehkan kedua-dua kampus UniKL ini mengeluarkan silibus mereka sendiri yang diluluskan oleh Senat yang kemudian dihantar kepada MQA untuk didaftarkan,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan sijil tersebut.

Setakat ini, katanya, sebanyak 19 universiti telah dianugerahkan status tersebut iaitu lapan universiti awam, tujuh universiti swasta dan empat kampus cawangan universiti luar negara.

Bagaimanapun, status swaakreditasi ini tidak termasuk program profesional yang masih perlu melalui akreditasi dan pengiktirafan oleh badan profesional yang berkaitan,” katanya, sambil menambah penilaian semula Status Swaakreditasi akan dilaksanakan setiap lima tahun.

Sementara itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkuat kuasa 1 Sept depan.

Ini merupakan nilai tambah kepada MARA dengan pelantikan Awang Adek memandangkan beliau mempunyai latar belakang pendidikan yang baik selain memegang jawatan-jawatan penting yang lain sebelum ini,” katanya.

Awang Adek, 62, menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tamat kontrak perkhidmatannya pada 11 Ogos. — Bernama

Advertisement