Anda di sini

Dirempuh kapal kargo

Advertisement

Bot pemancing rosak dilanggar kapal kargo belayar tanpa nakhoda dan ketua jurutera berkelayakan.

 Bot pemancing yang mengalami kerosakan selepas dilanggar kapal kargo di lima batu nautika dari Muara Tebas.
ROSAK: Bot pemancing yang mengalami kerosakan selepas dilanggar kapal kargo di lima batu nautika dari Muara Tebas.

KUCHING: Sebuah kapal kargo dipandu nakhoda yang tidak memiliki kelayakan diiktiraf melanggar sebuah bot pemancing menyebabkannya rosak dalam insiden malam kelmarin.

Semua selamat dalam insiden yang berlaku pada jam 7.50 malam di kedudukan kira-kira lima batu nautika dari Muara Tebas.

Pengarah Daerah Maritim Kuching Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, bot pemancing dalam pelayaran ke laut dengan 16 pemancing dan kru, manakala kapal tanpa muatan dalam perjalanan ke Kuching.

Susulan itu, sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) digerakkan ke lokasi.

Setelah diperiksa, kelihatan di bahagian sisi kanan bot pemancing rosak, manakala kapal kargo tersebut tidak mengalami sebarang kerosakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kapal tersebut belayar tanpa nakhoda dan ketua jurutera berkelayakan dan diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Justeru, kapal tersebut bersama dua kru tempatan dan tiga kru warga asing berusia 19 hingga 51 tahun ditahan di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas.

Kes itu disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Sementara itu, Shahref turut menasihatkan pengusaha-pengusaha bot pancing serta pemancing agar memaklumkan aktiviti mereka kepada Maritim.

Mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Sarawak di 082-432544 atau e-mel [email protected] atau faks 082-432554 setiap kali ke laut.

Maklumat mengenai jadual pelayaran, lokasi memancing, nama kru dan penumpang berserta alamat, nombor kad pengenalan dan nombor telefon kecemasan untuk dihubungi bagi melancar dan memudahkan Maritim melakukan tindakan segera.

  • oleh
  • Advertisement