Anda di sini

Institusi Raja perlu bertenaga dan dinamik

Advertisement

Raja hendaklah berdada lapang, berfikiran terbuka menimbang dan mengimbang rintihan

KUALA LUMPUR: Institusi Raja perlu bertenaga, bersifat dinamik bagi meyakinkan dan memenuhi peranan sebagai payung penyatuan rakyat.

Pemangku Sultan Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra bertitah Institusi Raja memerlukan elemen-elemen itu dalam menggalas peranan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan dalam sebuah masyarakat plural yang saling memerlukan.

“Dalam menyempurnakan peranan ini, Raja perlu merasai denyut nadi dan mendengari degup jantung rakyat yang berada di bawah naungan,” tidah baginda ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Simbiosis Raja dan Rakyat’ di INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara) Royal Talk 2017, di sini semalam.

Baginda bertitah Raja hendaklah berdada lapang – berfikiran terbuka menimbang dan mengimbang rintihan serta perasaan warga dalam usaha membantu ke arah membina warga yang berpadu lagi bersatu.

“Mengamati kedinamikan iklim politik dan percaturan siasah yang sedang berlaku, peranan Raja dan institusi Beraja semakin diperlukan untuk menjadi penenang kepada kekalutan, menjadi penyembuh kepada kesakitan dan menjadi penawar kepada kedukaan,” titah baginda.

Dengan itu, titah baginda, institusi Raja pada setiap ketika tidak boleh bersifat partisan.

“Dengan berkecuali dalam keadaan berlakunya krisis, institusi Raja berupaya memberi nasihat, teguran dan pandangan yang mencerminkan keadilan tanpa memihak,” titah baginda.

Pemangku Sultan Kelantan bertitah untuk itu amatlah penting bagi Raja berada di atas segala polemik untuk membolehkan institusi Raja berperanan secara adil lagi saksama.

Dengan itu, peranan institusi Raja dapat diterima secara baik dan dengan hati terbuka dalam mendamaikan sebarang perselisihan antara pihak-pihak terlibat, titah baginda.

“Semoga dengan penerimaan ini, gelora yang mendidihkan api persengketaan dapat dipadamkan, dan haba panas lahar muntahan gunung berapi yang bergejolak dapat disejukkan,” titah baginda.

Baginda bertitah sebagai payung negara, institusi Raja wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum atau agama.

“Raja merupakan simbol penyatuan negara yang melibatkan setiap warga secara inklusif tanpa mengira kaum, tanpa mengira agama dan tanpa mengira kabilah politik,” titah baginda. — Bernama

Advertisement