Anda di sini

Dalang bantu penceroboh

Advertisement
 Ismaili bertanyakan sesuatu kepada salah seorang awak-awak kapal nelayan Vietnam.
DAPATKAN MAKLUMAT: Ismaili bertanyakan sesuatu kepada salah seorang awak-awak kapal nelayan Vietnam.

KUCHING: Pencerobohan perairan Sarawak oleh nelayan asing terutama Vietnam dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket yang didalangi warga tempatan.

Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit, hasil risikan pihaknya, beliau percaya terdapat kerjasama membabitkan dua pihak dalam melakukan aktiviti perikanan secara haram di negeri ini.

“Kita percaya memang ada sindiket berhubung pencerobohan perairan kita (Sarawak) oleh mereka (nelayan asing) yang ada kaitan dengan usaha sama warga tempatan berdasarkan risikan kami,” katanya.

Ismaili berkata demikian pada sidang media berhubung penahanan 22 nelayan Vietnam di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas, semalam.

Mengulas lanjut, katanya pencerobohan melibatkan nelayan Vietnam di Sarawak amat luar biasa berbanding sebelum ini membabitkan nelayan Thailand.

Mendedahkan perkara itu, Ismaili berkata setakat Ogos, sebanyak 26 kapal nelayan asing telah ditahan pihak APMM berbanding sepanjang tempoh tahun lalu (2016) sebanyak 14 kapal.

Jumlah itu, katanya menunjukkan peningkatan dua kali ganda dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Saya percaya jumlah kemasukan kapal nelayan asing akan terus bertambah sehingga penghujung tahun ini (2017) berdasarkan kes semasa yang sudah meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini.

“Isu (pencerobohan) ini yang melibatkan nelayan asing amat serius dan perlu ditangani dengan penuh drastik,” ujar Ismaili.

Bercakap mengenai tangkapan terbaharu, APMM Wilayah Sarawak telah menahan dua kapal termasuk 22 nelayan Vietnam di kedudukan 185 batu nautika dari Tanjung Po pada 10 Ogos lalu kira-kira jam 8.45 pagi.

Kesemua awak-awak dan tekong yang berusia antara 16 hingga 45 tahun itu sedang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda ganding semasa ditahan.

Menurut Ismaili, jumlah hasil tangkapan laut di dalam kapal-kapal tersebut dianggarkan 10 tan membabitkan pelbagai jenis ikan.

“Semua hasil (ikan) itu akan dilelong hari ini (Isnin) kepada orang awam.

“Kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan sekiranya didapati bersalah, kapal serta peralatan menangkap ikan akan disita dan tekong bersama awak-awak dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 setiap seorang atau penjara,” katanya.

Turut hadir Pengarah Daerah Maritim Kuching Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah.

  • oleh
  • Advertisement